Rencana

100 hari: Muhyiddin buktikan kemampuan kemudi negara

ESOK genaplah 100 hari pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kemudi pentadbiran negara sejak 1 Mac dengan menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara dilanda krisis kesihatan akibat penularan pandemik COVID-19 selain badai ekonomi.

Beliau yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hazrul Shahiri, Muhyiddin bukan sahaja mengubah isu kesihatan COVID-19 untuk menjadi peluang membuktikan kemampuannya sebagai Perdana Menteri, malah berusaha memulihkan ekonomi negara dan menstrukturkan semula kitaran ekonomi.

“Tindakan pertama yang dilakukan dalam menghadapi cabaran itu ialah melantik pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 100 hari pertama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, khususnya dari segi pemulihan dan pembangunan ekonomi negara.

Kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik, berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaan, katanya.

Hazrul berkata, PKP yang dilaksanakan demi membendung penularan jangkitan COVID-19 bukan sahaja telah menjejaskan permintaan dalam pasaran barang serta penawaran dalam pasaran faktor yang ditunjangi oleh pekerja malah memberi kesan negatif kepada pendapatan negara, perniagaan syarikat dan perbelanjaan rakyat.

“Pelaksanaan PKP adalah ancaman ekonomi paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin. Ia cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah dihadapi oleh semua perdana menteri Malaysia sebelum ini.

“Krisis ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19 adalah jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi di era 1980-an,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara.

“Ia telah disifatkan sebagai satu tindakan yang pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan proses pemulihan ekonomi, dengan jumlah yang jauh lebih besar daripada peruntukkan kerajaan untuk pelan pemulihan ekonomi pada 2009 iaitu sebanyak RM67 bilion.

“Pentadbiran kerajaan Malaysia dengan pimpinan Muhyiddin telah berupaya untuk tidak bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika banyak negara (sekurang-kurangnya 80 negara) telah memohon bantuan daripada tabung berkenaan untuk memulihkan ekonomi negara mereka,” katanya.

Hazrul berkata, menyedari kesukaran usaha pemulihan ekonomi yang melibatkan perdagangan antarabangsa memandangkan ekonomi dunia juga telah dilumpuhkan oleh COVID-19, Perdana Menteri menumpukan aspek pembangunan ekonomi domestik untuk memperlahan dan mengurangkan penyusutan mendadak dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

Selepas pakej ekonomi PRIHATIN, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang bertujuan memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dalam keadaan mencabar serta mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran, katanya.

“Kemudahan seperti subsidi upah, bantuan kepada PKS dan kredit mikro telah membantu syarikat untuk kekal bertahan dalam industri walaupun tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Ia bukan sahaja usaha untuk melindungi rakyat melalui pengurangan beban serta menjamin pekerjaan malah sebagai sokongan kepada perniagaan dengan meningkatkan aliran tunai, walaupun ia tidak dapat menggantikan nilai aliran tunai sebenar namun masih memberi ruang kepada rakyat untuk berbelanja,” katanya.

Beliau berkata, walaupun COVID-19 telah merosakkan ekonomi dunia tetapi tindakan pantas dan betul oleh kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin berjaya mengelakkan kesan ekonomi yang lebih buruk.

Kelonggaran sekatan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat telah memberi ruang dan peluang untuk aktiviti ekonomi bergerak semula dan melakukan penyesuaian di era pasca-COVID-19, katanya.

“Peningkatan indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia setakat ini merupakan satu isyarat keyakinan pelabur untuk kembali menyumbang kepada ekonomi dan mempercepat proses pemulihan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berkuat kuasa mulai 10 Jun hingga 31 Ogos, 2020, menggantikan Perintah Kawalan

Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.

Justeru, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB).

Selain itu aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan; lawatan ke muzium; aktiviti ‘indoor busking’; akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial turut dibenarkan semasa PKPP.

Muhyiddin berkata, selaras fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan, namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, perlu ‘tunggu dahulu’ kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button