1.26 juta lengkap divaksin 2 dos, Selangor tertinggi
Seramai 1,267,758 individu telah melengkapkan penerimaan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketika ini seramai 2,835,178 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 4,102,936 dos.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 165,516 dos.
Kemudian diikuti Sarawak (130,641), Kuala Lumpur (118,255), Johor (117,725) dan Perak (115,298).
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan seramai 157,949 lagi penduduk diberikan suntikan dos pertama dan kedua, semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 111,130 untuk dos pertama dan 46,819 untuk dos kedua.
Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan gembira jumlah pemberian dos vaksin harian yang tinggi sekaligus membuktikan PICK yang dimulakan pada 24 Februari lepas berjalan dengan baik.
“Alhamdulillah vaksinasi sudah meningkat… semalam lebih 156,000 orang (terima suntikan vaksin) dan ia akan meningkat sampai 200,000 ke 250,000 pada Julai dan seterusnya 300,00 hingga 400,000 sehari.
“Ini membuktikan program imunisasi berjalan dengan baik dan yang penting kita nak lebih ramai mendaftar dengan MySejahtera ini (untuk mendapatkan suntikan vaksin).
“Tidak perlu bimbang dan takut kerana terbukti, dengan vaksin kita ada perlindungan atau antibodi bagi menjauhkan kita daripada wabak Covid-19,” kata beliau.-SM