MahkamahNasional

Philip Among didakwa cabul Ratu Kaamatan mungkin berdepan tuduhan tambahan

AHLI Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Philip Among yang berdepan lima pertuduhan gangguan seksual mungkin menghadapi tuduhan tambahan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, polis sudah menyiapkan dua siasatan lain terhadap ahli politik berkenaan yang juga seorang ahli perniagaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Hazani berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

“Sama ada tuduhan tambahan akan difailkan bergantung kepada AGC,” katanya.

Phillip Among semalam mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.


Among atau nama sebenarnya Philip Among @ Daniel Dell Fidelis dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dua wanita secara berasingan termasuk seorang peserta Ratu Kaamatan yang lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau.

Bagi pertuduhan pertama, Among dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita kira-kira pukul 11 malam pada 17 April lalu di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, Kota Kinabalu.

Empat pertuduhan lain turut membabitkan kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga peserta Ratu Kaamatan di empat tempat berasingan pada 19 Mei lalu. – FMT – SM

 

(Visited 233 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button