NasionalPolitik

Zuraida masih hadir mesyuarat Kabinet hari ini

DI sebalik ura-ura mahu meletakkan jawatan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin tetap hadir mesyuarat Kabinet pagi ini.

Memetik laporan BHOnline. sumber yang rapat dengan Zuraida memberitahu beliau tiba ke mesyuarat pada pukul9.40 pagi.

Malah sumber itu memberitahu, pada masa ini Zuraida tetap menjalankan tugas di Kementerian seperti biasa.

Zuraida masih menunggu masa yang sesuai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukannya sebagai anggota Kabinet.

Semalam media melaporkan Zuraida berkata beliau dalam keadaan ‘standby’ kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.

Kedudukan Zuraida dalam Kabinet pimpinan Ismail Sabri menjadi teka teki selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam satu kenyataan media pada 25 Mei lalu.

Namun demikian, dalam kenyataan sama Zuraida memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri.

Kenyataan itu dibuat Zuraida ketika beliau berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin manakala Ismail Sabri berada di Tokyo, Jepun, menghadiri Persidangan Nikkei.

Pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Jepun, pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri memaklumkan Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliautidak membuat keputusan. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button