Zulkefli Jais menang RM30K selepas angkat kisah sejarah Menara Condong
Seorang seniman muda, Mohamad Zulkefli Mohd Jais berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM30,000 selepas muncul juara dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman.
Bakat Muda Sezaman merupakan pertandingan berprestij anjuran Balai Seni Negara dan menerusinya, Zulkefli Jais mengangkat sejarah Menara Condong di Teluk Intan, Perak.
Dalam satu tembual, Zulkefli Jais yang berusia 28 tahun dan berasal daripada Sungai Manik berpendapat sesuatu karya itu perlu dekat dan inklusif kepada masyarakat.
“Saya sebagai seorang seniman hanya menjalankan kerja saya sebagai seorang seniman dan mana-mana seniman berhak mendapat tempat dalam ekosistem rakyat.
“Maka saya memilih Menara Condong kerana karya saya bercakap tentang memori, pertindihan geografi dan perlapisan sejarah yang berlaku di sini,” katanya.
Zulkefli berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penganugerahan Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023: Meraikan Kreativiti Seniman Muda Malaysia di Teluk Intan, Perak.
Zulkefli yang sudah berkecimpung dalam bidang arca selama lima tahun merancang untuk mahu lebih aktif berkarya di lokasi (on site) serta kiub putih (white cube).
Baca Juga > Pemenang utama Bakat Muda Sezaman 2023 ke Gwangju Biennale – Balai Seni Negara
“Setiap seniman mempunyai keunikan dan kelebihan yang tersendiri dan saya berpendapat saya layak berada di tempat yang sepatutnya.
“Saya akan menghasilkan karya yang dekat dengan rakyat dan ia amat penting berbanding seseorang seniman itu terperangkap dalam dunianya yang tersendiri,” katanya.
Zulkefli menamakan projek seninya sebagai Temporary Marking dan atas kemenangan besar itu, seniman muda ini akan dibawa bertanding ke Gwangju Biennale ke-15 di Korea Selatan mewakili Teluk Intan, Balai Seni Negara serta Malaysia.