Jaguh olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli melaungkan amaran awal kepada pencabarnya di Sukan Paralimpik 2024 di Paris dengan menjuarai acara lontar peluru lelaki F20 di (kecacatan intelektual) Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Memetik BERNAMA, lontaran sejauh 17.43 meter (m) oleh Ziyad pada saingan di Kobe Universiade Memorial Stadium menyaksikan beliau memperbaiki rekod Asia miliknya sendiri iaitu 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Juara Sukan Paralimpik 2016 itu mengenepikan cabaran atlet Perancis, Soane Luka yang meraih perak (15.29m) manakala Jordi Patricio dari Ecuador pula membawa pulang gangsa (15.80m).
Seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi pula menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan catatan 13.48m.
Dalam pada itu, Ziyad menerusi hantaran di Instagram memanjatkan rasa syukur apabila menggondol emas ketiga peribadi pada kejohanan dunia.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Three times gold medal World Para Athletics Championships,” katanya sambil memuat naik video kemenangannya.