Zii Jia ketuai cabaran Malaysia ke suku akhir Terbuka Thailand
Kejohanan Badminton Terbuka Thailand
PEMAIN perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai cabaran Malaysia mara ke suku akhir, esok, setelah diberi kemenangan percuma pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.
Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu tidak perlu memerah keringatnya di dalam gelanggang apabila pencabarnya, Kidambi Srikanth dari India menarik diri kerana ditimpa kecederaan hidung selepas melakukan ujian Covid-19 (swab test).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Badminton Thailand, pemain No. 14 dunia itu telah menjalani swab test sebanyak tiga kali dan sewaktu ujian terbaru rongga hidung Srikanth mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pendarahan berlaku.
Masalah tersebut hanya disedari oleh pasukan perubatan Thailand setelah tiga hingga ke lima minit berlalu selepas rakan sepasukannya mengadu hidung Srikanth mengalami pendarahan.
Ekoran masalah tersebut, Zii Jia, 22, diberi kemenangan percuma dan dia bakal turun beraksi menentang pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan pada suku akhir, esok.
Turut mengikut jejak langkah Zii Jia ialah tiga beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menundukkan lawan masing-masing sebelum menempah slot ke suku akhir.
Pasangan No. 15 dunia, Yew Sin-Ee Yi tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Phillip Chew-Ryan Chew dari Amerika Syarikat 21-12, 21-7, manakala beregu berpengalaman negara, V Shem-Wee Kiong menyingkirkan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy dari England 21-11, 21-19.
Yew Sin-Ee Yi akan bertemu pencabar dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang merupakan pilihan keenam kejohanan di suku akhir.
Bagi V Shem dan Wee Kiong pula, lawan yang menanti mereka ialah pasangan muda Malaysia, Sze Fei-Nur Izzuddin yang menewaskan Mathias Christiansen-Nicolas Nohr dari Denmark 21-19, 21-10.
Satu lagi gandingan muda negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan meneruskan cabaran Malaysia dalam aksi beregu wanita setelah menundukkan wakil Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen 22-20, 21-14.
Sementara itu, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan beregu campuran setelah melakar kemenangan straight set ke atas pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-13.
Bagaimanapun, laluan berliku menanti pasangan No. 7 dunia itu pada suku akhir apabila bakal menentang pilihan utama kejohanan yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Beregu no. 3 dunia itu mengetepikan satu lagi gandingan Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai 22-20, 18-21,12-21.
Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tersekat langkah mereka setelah tewas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 16-21,15-21.
Dalam pada itu, Liew Daren yang mengejutkan pemain No. 3 dunia, Anders Antonsen dalam pusingan pembukaan, semalam, tewas kepada wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-14, 21-17.
Turut pulang awal ialah dua beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen setelah mereka tumpas kepada wakil Korea Selatan.
Mei Kuan-Meng Yean kalah kepada Chang Ye Na-Kim Hye Rin 20-22, 21-19, 11-21, manakala Vivian-Cheng Wen terpaksa akur dengan kehebatan pilihan ketiga, Lee So Hee- Shin Seung Chan 21-14, 21-14. – SM