Ziarah pertemu 400 anak Suluh Budiman
Lebih 400 alumni Anak Kandung Suluh Budiman era Sultan Idris Training College(SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris ( MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) bertemu di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dalam program Ziarah Kasih terharu dapat untuk melepaskan kerinduan dan mengukuhkan hubungan silaturrahim selepas tidak bertemu sekian lama.
Semua alumni yang mengikuti program Ziarah Kasih diarak dari rumah Persatuan Anak Kandung Suluh Budiman (PASB) yang terletak berhampiran perkarangan Fakulti Bahasa dan Komunikasi ke Dewan SITC untuk diraikan oleh pengurusan UPSI.
Selain dibawa melawat Kampus Sultan Azlan Shah yang terletak di Proton City, alumni kemudiannya bergambar berlatarbelakangkan Bangunan Suluh Budiman (BSB), sebuah bangunan warisan yang dibina pada tahun 1922 era SITC yang kini dijadikan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) di bawah pengurusan Institut Peradaban Melayu (IPM).
Terdahulu diadakan majlis Reunion Perdana Anak Kandung Suluh Budiman 2022 anjuran Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya melahirkan kesyukuran kerana program itu dapat mempertemukan semula alumni Anak Kandung Suluh Budiman, malah sebagai penghargaan dan ingatan UPSI kepada mereka.
Selepas berucap, Md Amin membacakan sebuah puisi yang diciptakannya berjudul “Kekanda” sebagai apresiasi beliau kepada semua yang hadir seterusnya melancarkan buku berjudul “Memorabilia Anak Desa Ke Persada Muallim” sempena sambutan 100 tahun UPSI bermula era Sultan Idris Training College (SITC).
Katanya, sempena konvokesyen UPSI yang bakal berlangsung pada 18 jun nanti, UPSI akan menjemput alumni era SITC untuk bersama-sama merasai perubahan dan kemajuan UPSI.
Pengarah dan penggerak program, Md Arrif Hairoman terharu dengan kehadiran alumni empat era itu memperlihatkan keinginan mereka untuk saling bertemu dan merapatkan hubungan kembali.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin.
Pengarah Pusat Alumni UPSI merangkap Ketua Editor, Dr Siti Hartini Azmi berkata majlis sangat bermakna kerana bukan sahaja memberi peluang alumni bertemu rakan-rakan seperjuangan, malahan diusahakan penerbitan buku yang menghimpunkan 100 karya berbentuk puisi dan anekdot yang ditulis oleh alumni termasuk yang berjaya menjadi penulis terkenal tanah air.
Selain beliau editor buku yang menggerakkan antologi dalam masa lebih tiga bulan lalu ialah Prof Madya Dr Ghazali Din, Dr Mashudi Bahari, Rasyidi Johan, Anizan Md Noor, Ramli Mosmin, Md Ariff Hairoman dan Kaharuddin Mohd Yusof .
Selain pejuang dan tokoh bahasa tanah air, Prof Datuk Dr Awang Sariyan yang menyumbang puisi berjudul “Jejak-jejakPendeta Za’ba di Bumi Ibu Kandung”, penyair terkenal yang juga alumni era MPSI, Rahman Shaari menampilkan dua puisi “Bukan Lalang di Ibu Kandung” dan “ Dusun Ilmu”.
KETERANGAN GAMBAR
Gambar 1: Md Amin melancarkan buku “Memorabilia Anak Desa Ke Persada Muallim” sempena sambutan 100 tahun UPSI bermula era Sultan Idris Training College (SITC).
Gambar 2: Alumni Anak Kandung Suluh Budiman bergambar kenangan di hadapan Bangunan Suluh Budiman yang dibina pada 1922.