Zee Jia dan Kisona pahat kejayaan, ulangi sejarah 46 tahun lalu
MANILA, 9 Dis — Skuad badminton negara di Sukan SEA ke-30 hari ini mencipta sejarah tersendiri, apabila memenangi pingat emas bagi kedua-dua acara perseorangan, lelaki dan wanita akhir.
Kejayaan yang diraih perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan perseorangan wanita S.Kisona itu, menyaksikan skuad badminton negara mengulangi pencapaian ketika edisi 1973.
Pada temasya di Singapura itu, Datuk Punch Gunalan menghadiahkan emas buat perseorangan lelaki sementara Sylvia Ng Meow Eng, menyumbang emas bagi perseorangan wanita.
Pada aksi final perseorangan wanita hari ini, Kisona membuktikan bahawa ranking pemain bukan satu halangan, untuk menewaskan lawannya Ruselli Hartawan dari Indonesia yang berada pada rangking jauh lebih baik darinya.
Turun selaku pemain di ranking ke-104 dunia, Kisona bagaimanapun lebih unggul mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menang 2-1 ke atas Ruselli, yang menghuni ranking ke-37 dunia, sekali gus melakar sejarah meraih emas pertamanya, di temasya dwi tahunan itu.
Dalam aksi di Kompleks Sukan Muntinlupa, di sini, pemain berusia 21 tahun itu tewas tipis 20-22 pada set pertama, namun bangkit lebih garang pada set berikutnya.
Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu jelas mendominasi permainan dengan pukulan lebih kemas pada set kedua, apabila merakam kemenangan 21-14 sebelum meneruskan momentum bertenaga pada set ketiga untuk mengesahkan pingat emas, dengan kemenangan bergaya 21-13.
“Saya hendak berterima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih yang telah memberi kepercayaan kepada saya, untuk beraksi dalam acara perseorangan ini.
“Walaupun tidak letak sasaran kepada saya, mereka mahu saya tunjukkan kemampuan saya, dan saya dah pun buktikannya,” katanya.
Kecemerlangan itu diteruskan dalam aksi perseorangan lelaki apabila perseorangan utama negara, Lee Zii Jia turut menghadiahkan pingat emas, menewaskan wakil Singapura, Loh Kean Yew.
Turun selaku pemain di ranking ke-14 dunia, Zee Jia dilihat selesa mengawal rentak permainan untuk menjinakkan lawan 21-18 pada set pertama.
Perseorangan terbaik negara itu bijak menggunakan kesilapan demi kesilapan dilakukan pencabarnya, membolehkan beliau menutup saingan di set kedua dengan kemenangan 21-18.
Kejayaan diraih pemain kelahiran Kedah itu menyaksikan beliau turut melakar sejarah meraih emas pertama di Sukan SEA, mengubati kekecewaannya yang tersingkir awal ketika di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
“Selain daripada kejohanan besar seperti Olimpik dan Sukan Asia, memang Sukan SEA antara yang paling besar untuk badminton.
“Lepas menang tadi saya memang fikir hanya nak bercuti, nak lepaskan semua tekanan yang ada,” katanya.
— BERNAMA