HiburanNasional

Ahmad Idham tamatkan kontroversi Finas

 

MUNGKINKAH kontroversi yang melanda Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ketika ini akan terlerai berikutan pengumuman pengunduran awal Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri?

Ramai mengharapkan begitu. Lebih-lebih lagi warga seni yang bernaung di bawah agensi itu.

Hakikatnya, industri perfileman di negara ini belum benar-benar berkembang seiring dengan perubahan masa dan pemikiran penghuninya.

Malangnya, sebuah badan yang bertanggungjawab untuk meneroka dengan lebih jauh kepentingan industri dan menentukan hala tuju lebih jelas, gagal melaksanakan peranannya dengan baik hanya disebabkan isu-isu dalaman.

Konflik yang melanda dua orang kuat Finas ini, Ahmad Idham dan Pengerusinya, Datuk Hans  Isaac boleh disifatkan sebagai rahsia terbuka.

Isu ‘perebutan kuasa’, dikatakan menjadi punca banyak keputusan penting gagal dilaksanakan.

Justeru, langkah terbaik yang diambil Ahmad Idham adalah melepaskan jawatannya mulai
10 Mac 2020 walaupun kontrak perkhidmatan sebenarnya berakhir pada Mac 2021.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Finas, keputusan berundur lebih awal tersebut adalah atas permohonan Ahmad Idham sendiri.

Dan Ahli Lembaga Pengarah telah meluluskan permohonan atas sebab-sebab peribadi tersebut.

“Finas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Ahmad
Idham di atas segala sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua
Pegawai Eksekutif dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata kenyataan itu.

Ahmad Idham, 45, yang juga pelakon dan pengarah, sebelum ini enggan mengulas mengenai spekulasi bahawa dirinya direhatkan daripada menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif Finas.

“Biarlah kenyataan dikeluarkan Finas sendiri atau Menteri Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas pada 14 Mac lalu dan pelantikan itu berkuat kuasa selama tempoh dua tahun.

Diharapkan selepas ini siapa sahaja yang dilantik mengisi kekosongan kerusi tersebut dapat diberikan ruang bagi menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi.

Semoga industri perfileman negara dapat berkembang dengan lebih sihat dan dikenali di peringkat dunia.

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button