Politik

Zahid menghadap Agong pukul 10 pagi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10 pagi ini di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum telah berkenaan menerima sembah menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin DAP Lim Guang Eng, pemimpin Amanah Mohamad Sabu, pemimpin Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) dan Datuk Seri Wee Ka Siong (MCA).

Pas diwakili Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berikutan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih di hospital menerima rawatan sakit jantung.

Anwar memaklumkan dalam pertemuan itu beliau melihat Yang di-Pertuan Agong berlapang dada menerima pandangan para pemimpin dan pada masa yang sama baginda arif tentang isu semasa berkaitan proklamasi darurat dan pandemik Covid-19.

Dr. Mahathir pula menyarankan ditubuhkan MAGERAN bagi menangani masalah pandemik, politik, ekonomi dan sosial dengan beliau mengetuainya.

Pemerintahan darurat sepatutnya tamat pada Ogos ini dan ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menangani penularan wabak Covid-19 atas nasihat Perdana Menteri.

Negara kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 dan ia dijangka dilanjutkan berikutan jumlah kes baharu harian masih melepasi 5,000 kes.

Penularan tidak dapat dikawal berikutan varian baharu virus berkenaan iaitu dari India yang tersebar melalui udara dengan kadar kematian lebih tinggi menghampiri 100 orang sehari.

Peningkatan mendadak ini turut disumbang oleh sikap masyarakat yang tidak mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal dan larangan merentasi negeri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button