Zahid, Hadi bertemu, mahu tunjang Melayu, Islam diperkuatkan
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu selama dua jam hari ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pertemuan itu berlangsung dalam semangat ukhuwwah dan mahabbah.
Asyraf Wajdi berkata, dalam pertemuan itu Abdul Hadi turut menegaskan UMNO dan Pas merupakan tunjang dan kekuatan kepada orang Melayu dan Islam.
Justeru pemimpin Pas itu mahu tunjang tersebut terus diperkuatkan demi rakyat dan umat Islam.
“Kedua-dua pimpinan tertinggi ini turut berkongsi citra dan semangat untuk terus memastikan muafakat UMNO dan Pas terus dipertahan dan diperkasakan.
“Biarlah apa jua tohmahan dan fitnah yang cuba dilontarkan untuk menggagalkannya, yang pasti UMNO-Pas terus kekal muafakat.
“Antara kata-kata Tuan Guru yang begitu membekas di jiwa saya, “UMNO dan PAS adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam. Kita kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan Ummah!”kata Asyraf Wajdi.
Selain Asyraf Wajdi, turut serta dalam pertemuan itu adalah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara Abdul Hadi ditemani Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Pada 13 Oktober lalu, Ahmad berkata, Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk berbincang bagi mendaftarkan Muafakat Nasional didaftar sebagai parti politik.
Perkara tersebut mungkin akan disentuh dalam mesyuarat Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang akan berlangsung Isnin ini.
Sebelum ini hubungan kedua-dua parti itu diselubungi spekulasi selepas UMNO memutuskan untuk mempertimbangkan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional.
Pas merupakan sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional.-SM