
ASEAN rantau yang kuat dan bersatu – Anwar
KUALA LUMPUR 8 April – ASEAN merupakan sebuah rantau yang kuat dan bersatu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selaku Pengerusi ASEAN beliau berkata, komitmen semua kepada kerjasama ASEAN tidak pernah goyah.
Katanya, semangat kolektif serantau ternyata sumber kekuatan utama yang mesti dimanfaatkan secara agresif.
”Ekonomi rantau ASEAN kekal stabil meski dibadai ketidaktentuan global.
”Dasar perlindungan (protectionism) perdagangan Amerika Syarikat mutakhir ini merupakan cabaran yang dihalakan ke arah kita. Namun, ASEAN tidak gentar dan tidak akan berpecah-belah.
”Seperti yang telah saya tegaskan, kita memilih jalan rundingan yang adil, damai serta saksama, bukannya perseteruan,” katanya dalam hantaran ke Facebook.
Sementalahan, ujar beliau, Malaysia tidak akan tergesa-gesa mengenakan tindakan balas yang boleh merugikan semua pihak dan menempiaskan dampak yang lebih parah. Sebaliknya, pendirian ASEAN jelas yakni berpegang teguh pada prinsip perdagangan bebas yang adil dan mengutamakan budaya dialog dan wacana yang segar dan sihat dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya telah berunding dengan pemimpin serantau lain untuk memastikan tindakbalas kita terhadap tantangan ini kekal padu dan sederap.
”Keadaan kini jauh berbeza ketimbang era kemelut ekonomi Asia 97-98. Pada ketika itu, ekonomi serantau rapuh dan mudah terjejas. Kini, asas ekonomi ASEAN jauh lebih kukuh dengan kerjasama serantau yang lebih erat.
”Pengalaman pahit itu telah mengajar kita untuk lebih bersedia dan berhati-hati. Kita telah membina ketahanan ekonomi yang tinggi melalui dasar fiskal dan kewangan yang berhemah. ASEAN kini lebih bersedia mendepani apa jua cabaran global yang mendatang.
”Kepada para pelabur di seluruh dunia, saya memberi jaminan bahawa ASEAN kekal terbuka dan mesra pelabur,” katanya.