Zahid keluar lapan cek berjumlah RM65,321.83 untuk bayar kad kredit – Pegawai bank
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan lapan cek tempatan berjumlah RM65,321.83 untuk membayar kad kredit dan kad caj American Express (AMEX) antara Februari 2014 dan Julai 2015.
Naib Presiden yang bertanggungjawab dalam pengurusan penipuan dan pertikaian kad kredit Malayan Banking Berhad (Maybank) Anoop Singh Gulzara Singh, 46 berkata cek berkenaan dibayar kepada Maybank Card Centre antara 19 Feb, 2014 dan 9 Julai, 2015.
“Enam pembayaran dibuat antara 19 Feb dan 29 Okt, 2014 bagi Mastercard Gold dan Visa Platinum.
“Satu pembayaran dibuat pada 20 Mac, 2015 bagi Visa Platinum dan satu pembayaran dibuat pada 9 Julai, 2015 untuk AMEX Platinum,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.
Beliau berkata demikian semasa membaca pernyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt pada hari keempat perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Anoop Singh juga memaklumkan mahkamah bahawa selain Kuala Lumpur, Ahmad Zahid juga menggunakan kad berkenaan di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea Selatan.
“Merujuk kepada penyata kad kredit bertarikh 24 Jun, 2014, (kad) Visa digunakan untuk satu urus niaga di sini berjumlah RM5,900. Penyata bertarikh 24 Julai pada tahun yang sama menunjukkan beberapa transaksi dibuat di Kiev, Ukraine dengan jumlah urus niaga sebanyak RM7,604.90.
“Merujuk kepada penyata bertarikh 26 Mei dan 26 Jun, 2015, kad AMEX digunakan di tiga perniagaan dan satu transaksi di pasar raya di Seoul, Korea sebanyak RM32,446.46,” kata Anoop Singh.
Menurut saksi itu, akaun Mastercard ditutup pada 16 April, 2014 manakala dua kad lain masih aktif sehingga hari ini.
“Visa dan Mastercard mempunyai gabungan had kredit sebanyak RM70,000,” katanya.
Ahmad Zahid, 66, bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 Dis. – BERNAMA