Yonnyboii-Nik Nazira selamat diijabkabulkan
SEHARI selepas penyanyi Haqiem Rusli bernikah dengan pasangannya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Yonnyboii selamat bernikah dengan gadis pilihannya, Nik Nazira Narriman, 22.
Berita ini disahkan sendiri oleh Yonnyboii dan berkata, majlis pernikahannya diadakan di Duchess Place, Ampang, 20 November lalu.
Menurut Yonnyboi, pada mulanya dia merancang untuk mengadakan majlis pernikahan pada tahun hadapan tetapi atas permintaan keluarga, ia dipercepatkan kerana bimbang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.
“Saya menikah sehari selepas Haqiem Rusli yang mana keluarga meminta kami mempercepatkan majlis. Majlis ringkas saja bersaksikan 20 orang ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua belah pihak.
“Tiada niat hendak merahsiakan pernikahan cuma kami hanya ingin menjaga hati keluarga yang mana jumlah tetamu terpaksa dihadkan. Oleh itu, kami memilih untuk tidak terlalu menghebahkannya,” katanya.
Kata Yonnyboii lagi, “Alhamdulillah, semua urusan untuk menikah dipermudahkan dan selesai dalam tempoh sehari saja. Malah, baju nikah kami berdua berjaya disiapkan sehari saja.
“Sebenarnya keputusan untuk berkahwin ini dibuat tiga hari sebelum tarikh 20 November. Ibu saya yang meminta kami memuat naik gambar di Instagram bagi mengelakkan fitnah. Kata orang, elok dihebahkan urusan perkahwinan,” katanya.
Terdahulu, Yonnyboii mengikat tali pertunangan dengan Nazira pada 9 Oktober lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 22 Januari tahun depan. – HARIAN METRO – SM