“Ya saya bukan ketua cawangan” – Isham Jalil
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan yang membuatkan Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor, Isham Jalil memberi respons.
Ini respons beliau:
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berlagak lagi, dia kata orang yang bukan Ketua Cawangan (macam saya) tidak boleh buat kenyataan kononnya macam ketua parti.
Masalah dengan Annuar ini, bila ketua parti (Presiden) cakap pun dia sanggah dan tidak boleh terima seolah-olah dia lebih tinggi dari ketua parti. Dia juga pernah kata dia “lebih senior dari Presiden parti”.
Saya lihat Presiden parti yang dia ikut bukanlah presiden parti kita (UMNO) tetapi presiden parti lain.
Dia suka perlekeh orang dan dia pernah kata, saya pernah kalah di pemilihan UMNO dan saya bukan ketua cawangan.
Betul tetapi dia pun pernah kalah di pemilihan Timbalan Presiden dan semasa dia bertanding Ketua Pemuda dahulu, tetapi itu dia tidak cakap, mungkin dia malu.
Pada saya kalah menang dalam politik itu adat pertandingan. Jika kita kalah sekali tidak bermaksud kita akan kalah selamanya, yang penting adalah semangat juang dan tidak lari dari cabaran mahupun belot kepada pihak lawan.
Dan betul, memang saya bukan ketua cawangan. Saya adalah ahli UMNO di cawangan Pekan Sungai Pelong, Paya Jaras, Sungai Buloh.
Ketua Cawangan saya adalah Tok Umpat Alias, dulu beliau pernah jadi Tok Umpat di kampung saya. Saya amat hormat beliau dan beliau adalah orang lama di kampung saya dan sahabat baik ayah saya.
Dulu Tok Umpat Alias pernah tawar kepada saya untuk jadi Ketua Cawangan, tetapi saya tolak. Saya jelaskan kepadanya sebabnya ialah kerana saya mahu dia terus bantu orang-orang kampung di situ yang dia kenal lebih lama dan saya akan bantu dia apa yang terdaya.
Pada masa yang sama saya juga akan buat kerja di peringkat negeri dan pusat serta bantu rapatkan hubungan antara akar umbi dan kepimpinan tertinggi parti.
Akhir-akhir ini ramai orang hubungi saya untuk masuk UMNO atau jadi sukarelawan dalam pasukan saya. Oleh itu saya rasa mungkin ini salah satu petunjuk dari Allah SWT kepada saya.
Saya terima cabaran dan petunjuk ini, mungkin sudah tiba masanya untuk saya buka satu atau beberapa lagi cawangan UMNO di Selangor untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin masuk UMNO dan membantu parti untuk menang pilihanraya yang akan datang.
Kepada sesiapa yang ingin mendaftar menjadi ahli UMNO atau yang ingin masuk ke cawangan saya terutama yang tinggal di kampung saya atau di sekitar Paya Jaras dan Sungai Buloh atau yang mengundi di sini, boleh terus hubungi saya melalui Facebook messenger.
Atau kepada sesiapa yang ada dalam group whatsapp bersama saya, boleh terus whatsapp saya untuk saya hantar borang keahlian.
Kepada Tan Sri Annuar Musa, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah jua.
Dan bukalah ruangan komen di Facebook itu, janganlah jadi penakut sangat, badan saja besar. – ISHAM JALIL – SM