Nasional

“Ya Allah, apa yang harus saya lakukan?” kata adik mangsa dera rumahtangga

“YA Allah, apa yang harus saya lakukan?” Inilah dilema Fauziah Nordin, 40, yang kakaknya koma selepas didakwa dipukul suami pada Mei tahun lalu.

Fauziah berkata, doktor telah menghubunginya beberapa kali untuk memberitahu bahawa kakaknya, Jahidah Nordin, 43, memerlukan bantuan pernafasan kardio-pulmonari (CPR).

Beliau berkata, Jahidah baru menjalani kuarantin selama sembilan hari selepas disahkan positif Covid-19 dan kini telah dipindahkan semula ke wad biasa di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Saya tidak dapat mengira berapa kali doktor menghubungi saya tentang kakak saya. Dia semakin lemah dan ada risiko serangan jantung.

“Tiada siapa yang mahu keadaannya bertambah teruk. Untuk melakukan CPR, waris mesti memberi kebenaran tetapi ia hanya akan menyebabkan dia menderita. Dia terlantar dan telah melalui banyak kesakitan selama hampir setahun,” kata Fauziah meluahkan perasaan tentang keadaan kakaknya di Facebook.

Fauziah yang menjaga bayi kakaknya meluahkan rasa sedih dan prihatin terhadap Jahidah.

“Ya Allah, saya tidak mahu kakak saya menderita lagi. Tetapi apabila saya mengenangkan bayi itu, hati saya sebak. Saya tidak boleh berhenti menangis.

“Saya perlu kekal positif supaya kakak saya bermotivasi untuk pulih. Apabila saya memikirkannya, saya tertanya-tanya pada diri sendiri berapa lama lagi dia perlu menderita dengan terlantar dan mengalami kerosakan otak yang kekal.

“Kalau saya di tempat Kak Jahidah, saya akan minta untuk pergi (dunia ini). Ya Allah, apa yang patut saya buat?” katanya lagi dalam catatan di Facebook.

Pada 24 Februari lalu Jahidah, mangsa keganasan rumah tangga atau domestic violent yang masih koma, telah diuji positif Covid-19 di Hospital Tuanku Ja’afar.

Pada 21 Januari lalu, Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans apabila keadaannya menjadi tidak stabil dengan demam, loya dan pernafasan tidak teratur. Dia dibenarkan pulang selepas bersalin melalui pembedahan pada 30 November tahun lalu. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button