Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) perlu diwujudkan segera bagi menyekat aktiviti kartel beras yang menjadi punca beras tempatan kurang berada di pasaran ketika ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penubuhan semula LPN dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan beras tempatan selepas agensi itu dibubarkan selepas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diswastakan pada 1996.
Menurutnya, sejak ketiadaan LPN isu beras yang melanda seluruh negara seolah-olah tidak dapat dikawal.
“Jika ada LPN ia boleh fokus untuk kawal beras kita dan masalah kartel yang mengaut keuntungan besar dapat diatasi.
“Kita kena wujudkan semula LPN kerana hari ini (isu beras) dilihat seakan tidak dapat dikawal, malah ia perlu dimiliki oleh kerajaan sebab ini adalah barangan asas dan ia satu keperluan untuk rakyat,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhamad Akmal berkata, penguatkuasaan membabitkan isu beras juga perlu diperhebatkan bagi menyokong empat langkah intervensi tambahan sekiranya tidak mahu ianya sekadar sia-sia.
Katanya, empat langkah itu perlu diteliti dan yang paling penting adalah dari segi penguatkuasaan kena tegas kerana tidak mahu orang ambil ringan perkara tersebut.
“Banyak berlakunya kartel-kartel beras ini jadi saya percaya kita perlu pelaksanaan penguatkuasaan yang tegas, berat dan teliti, sekurang-kurangnya dapat bawa hak kita,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyambut baik jika Bernas mahu mewujudkan semula kilang-kilang padinya. – SM