Sukan

Woodball dapat sambutan warga Putrajaya

Program ‘Jom Woodball @ Putrajaya’ yang dilangsungkan di pekarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya
baru-baru ini mendapat sambutan dan juga respons memberangsangkan di kalangan warga Putrajaya yang berkesempatan meluangkan masa hadir.

Program separuh hari yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada acara sampingan sempena aktiviti ‘Kayuhan Jelajah Jiwa Bangsa’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut dianjurkan oleh Kelab Woodball Prang Besar (KWPB) yang dianggotai oleh 100% penjawat awam yang bertugas di Putrajaya.

Lebih daripada 150 orang ketua-ketua agensi Persekutuan dan juga dari negeri Perlis serta sektor swasta yang hadir diberikan penerangan ringkas mengenai sejarah kewujudan woodball, teknik asas dan peraturan permainan serta berpeluang mencuba sukan yang berasal dari negara Taiwan itu.

Antara yang tidak melepaskan peluang mencuba termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Zamri Mat Zain.

Tidak ketinggalan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Datuk Sri Zulkifli Abdullah dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin.

Turut serta ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad.

Tambah istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis. Menurut Presiden Kelab Woodball Prang Besar (KWPB), Asrul Nizwan Mohamad, KWPB ditubuhkan bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda Perlis beberapa tahun yang lalu bagi sama-sama membantu memartabatkan serta mempromosikan lagi sukan woodball di seluruh negara ini.

Sebagai “trademark” KWPB, satu pertandingan ‘Gate In One Woodball Challenge’ turut diadakan sebagai acara kemuncak kepada program tersebut di mana RM1,705.43 ditawarkan kepada pemenang. Jumlah hadiah berkenaan mengambil sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 17 Mei 1943.

Untuk rekod, Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan (WCWC Perlis 2020) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra, Perlis dari 24 hingga 30 Julai 2020 ditangguhkan ke tarikh yang sama pada tahun hadapan susulan pandemik COVID-19.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button