Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030 – PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan meletakkan sasaran mahu menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030.
Hasrat itu selari dengan konsep Malaysia MADANI yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.
“Jabatan Wilayah Persekutuan turut sedang merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar.
“Antara program lain yang telah direncana adalah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan kamera litar tertutup di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan,” katanya.
Perdana Menteri berkongsi perkara itu menerusi Facebook miliknya selepas menghadirkan diri ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 pagi tadi di Istana Negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa usaha-usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras dengan pelan mitigasi banjir yang telah disediakan.
“Saya menzahirkan keyakinan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi terlibat untuk terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan dengan baik dan bijaksana,” katanya. – SM