Luar Negara

WHO teliti laporan, semak semula saranan berhubung Covid-19

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) kini meneliti laporan susulan gesaan supaya ia menyemak semula  saranan berhubung jangkitan Covid-19.

Ia ekoran tindakan sekumpulan lebih 200 saintis yang mendakwa koronavirus SARS-CoV-2 boleh tersebar menerusi partikel kecil dalam udara.

WHO sebelum ini memaklumkan koronavirus merebak dari individu ke individu lain menerusi titisan cecair badan dari hidung atau mulut.

Virus itu disebar apabila individu yang mempunyai virus berkenaan batuk, bersin atau bercakap.

Namun fakta itu disanggah 239 saintis dalam surat terbuka kepada agensi itu baru-baru ini.

Kumpulan saintis itu turut mendesak agar WHO mengemas kini garis panduan berhubung Covid-19.

WHO memaklumkan akan meneliti panduan berkenaan dengan pakar teknikal dan sebarang perubahan dalam penilaian risiko penyebaran COVID-19 akan mengubah nasihat pertubuhan itu berhubung amalan penjarakan sosial satu meter.

Kerajaan yang bergantung kepada polisi berkenaan juga mungkin perlu mengubah pendekatan kesihatan awam bagi menghentikan penyebaran virus tersebut.

Baru-baru ini, 239 saintis dari 32 negara menunjukkan penemuan virus tersebut boleh tersebar melalui udara dan mendesak agar WHO menyemak semula kenyataannya sebelum ini. – ASTRO AWANI-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button