WeChat dan TikTok antara platform pertama peroleh lesen MCMC
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengambil langkah penting mematuhi keperluan pelesenan bagi operasi di Malaysia.
Dalam kenyataannya, MCMC menyebut bahawa Tencent (WeChat) telah menjadi platform pertama memperoleh Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka sebagai pelopor dalam mematuhi keperluan pelesenan di bawah kategori penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Susulan itu, ByteDance (TikTok) turut berjaya mendapatkan lesen yang sama. Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka akan menerima kelulusan dalam masa terdekat.
Bagi Meta, syarikat induk yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp, proses pelesenan telah dimulakan dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Namun begitu, X (dahulu Twitter) dan Google (YouTube) masih belum memohon lesen masing-masing. Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia didakwa tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan, namun MCMC kini sedang menyemak kesahihan maklumat tersebut.
Dalam kes Google, beberapa isu berkaitan klasifikasi ciri-ciri perkongsian video di YouTube telah dibangkitkan. MCMC memaklumkan bahawa perbincangan sedang berlangsung untuk memastikan pemahaman yang jelas mengenai tanggungjawab mereka di bawah Kerangka Pelesenan.
MCMC turut menegaskan bahawa penyedia platform yang gagal mematuhi keperluan pelesenan boleh dikenakan tindakan pengawalseliaan, termasuk siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Keperluan pelesenan ini, menurut MCMC, bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan perlindungan pengguna, terutama golongan kanak-kanak dan rentan, selain mempertingkat pengawasan terhadap operasi platform digital di Malaysia.
Dalam kenyataan itu, MCMC turut memuji usaha penyedia perkhidmatan seperti Tencent dan ByteDance yang telah menunjukkan komitmen untuk mematuhi peraturan. Langkah ini dilihat selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan terkawal.
“MCMC akan terus menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap Kerangka Pelesenan,” ujar kenyataan itu.
Tindakan tegas ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memastikan platform digital beroperasi dengan mematuhi undang-undang demi kebaikan semua rakyat Malaysia.