Nasional

“Wartawan cilik” Muhammad Haziq nak temubual PM

MUDAH dan sudah viral, mendapat gelaran wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, memberitahu dia menyimpan impian mahu berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk ditemubual olehnya.

Berasal dari Bukit Selambau, Kedah, Muhammad Haziq mencuri perhatian netizen, secara terus terang berkata, jika dia diberi kesempatan menemuramah Perdana Menteri secara bersemuka pasti tidak akan menolak.

GAMBAR BERNAMA – Muhammad Haziq juga suka turun ke dapur dan pandai membuat donut.

Ini kerana wajah pemimpin nombor satu negara itu hanya dapat ditonton di kaca televisyen.

“Memang nak jumpa, kalau boleh Perdana Menteri. Kalau dapat saya nak temuramah PM dan akan sediakan donut dan roti yang saya buat untuk dihidangkan kepada PM,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dia ditemui wartawan Bernama di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau.

Muhammad Haziq mencuri perhatian netizen dan menjadi popular dalam sekelip mata selepas rakaman videonya yang melaporkan penemuan seekor ular sawa di pasar awam ditularkan.

Video tersebut yang dimuatnaik di Facebook Putra Mar pada 24 Januari lalu sehingga hari ini menerima 1.2 juta penonton.

Muhammad Haziq yang juga minat memasak ketika ditemui kelihatan agak pendiam namun perwatakannya berubah sejurus diberikan mikrofon dan dia beraksi umpama wartawan penyiaran di hadapan kamera untuk membuat laporan berita.

Secara bersahaja dan tanpa kekok, dia memaparkan kebolehannya membuat laporan mengenai dirinya dengan lancar dan petah serta diselangi dengan loghat utara.

Sementara itu, ibu kanak-kanak ini, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata, dia dan suami, Mohd Asyraf Ahmad, 37, menyokong penuh minat anak mereka dan menggalakkannya untuk terus menghasilkan video dalam bentuk laporan berita sebagai asas bagi mengasah bakat yang ada pada diri Muhammad Haziq.

“Sejak video pertama Muhammad Haziq mengenai penemuan ular sawa di pasar menjadi tular bulan lepas, banyak pihak yang tampil memberikan sokongan kepada anak sulung kami yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi perhatian kepada anak saya, yang memberi sumbangan terutama untuk persekolahan dia dan seorang lagi anak perempuan saya,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Leftenan Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub meluangkan masa, mengunjungi Muhammad Haziq dirumahnya serta menyampaikan sumbangan persekolah kepada kanak-kanak itu dan adik perempuannya, Sara Salsabilla yang berusia 7 tahun.

Kata Awang Askandar, sumbangan yang dihulurkan itu adalah sebagai bantuan dan sokongan kepada Muhammad Haziq supaya dia menjadi pencetus kepada rakan-rakan sebayanya dan kanak-kanak lain agar bergiat aktif dan bermanfaat kepada masyarakat.

Muhammad Haziq yang menghidap talasemia turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehudin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkan kanak-kanak itu telefon bimbit.

Kanak-kanak itu juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa selain sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan individu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button