NasionalRencah Hidup

Wartawan cekap imbangi kerjaya dan berkebun durian Musang King

MINATNYA terhadap bidang kewartawanan masih mendalam, namun sejak kebelakangan ini Mohamad Khairy Abdullah lebih menumpukan perhatian pada kebun durian Musang King yang diusahakannya sejak enam tahun lepas, sehinggakan ramai yang memanggil beliau “Khairy Musang King”.

Sebahagian besar masanya dihabiskan menanam dan menjaga pokok durian baka itu di kebun seluas lima hektar miliknya di Kampung Sondukut, Sook, kira-kira 11 kilometer dari Kota Kinabalu.

Mohamad Khairy, wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang berpangkalan di sini sejak 2015, kini mempunyai 300 batang pokok durian Musang King berumur antara tiga hingga lima tahun dengan sebahagian sudah mula berbunga.

Kata Mohd Khairy, 57, menjadi impiannya untuk mengusahakan kebun durian Musang King selepas beliau membersihkan tanahnya yang terbiar pada 2014, dan usaha itu dimulakan dengan hanya lima batang anak pokok Musang King berharga RM175 sepokok, disebabkan kekangan kewangan.

“Hasil penulisan berita dan kerja sampingan lain, saya berjaya menanam 400 batang pokok pada 2015, namun pada tahun sama kebun saya hampir musnah akibat pembakaran terbuka yang tidak terkawal di kawasan berhampiran,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya hanya 30 batang pokok terselamat dalam kejadian itu dan beliau hampir berputus asa, namun dorongan isteri menjadi pembakar semangat dan beliau menghubungi Jabatan Pertanian Keningau yang menawarkan bantuan anak pokok durian Musang King.

“Saya membeli baki anak pokok durian selebihnya secara berperingkat dengan pendapatan daripada hasil penulisan berita dengan Bernama dan pada akhir 2016 saya berjaya menanam 300 pokok,” katanya.

Mohamad Khairy yang aktif dalam bidang kewartawanan sejak 1980-an berkata beliau memilih untuk menanam durian Musang King kerana potensi pasaran yang luas di dalam dan luar negara.

“Saya berasal daripada keluarga petani dan ibu bapa saya mengusahakan pertanian berskala kecil secara tradisional dengan menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan padi,” katanya, menambah ibu bapanya bergelut untuk menyara 11 anak dengan kegiatan pertanian kecil-kecilan itu.

Menurutnya sekalipun telah berkecimpung dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun, kedudukan kewangannya masih belum kukuh, justeru beliau mahu melakukan sesuatu yang dapat memberikan pulangan besar seperti perladangan komersil.

“Saya pilih untuk menanam Musang King dan saya berterima kasih kepada isteri, Rosana Edeza yang bekerja tanpa mengenal erti lelah untuk merealisasikan impian kami memiliki kebun durian. Pada kebanyakan masa, dua anak kami turut serta dalam aktiviti ini,” katanya yang merancang untuk menanam tanaman lain selepas ini.

Selain menjadi wartawan sambilan dan bertani, Mohamad Khairy yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Komunikasi dan Politik turut bekerja sebagai pensyarah sambilan di Universiti Terbuka Malaysia cawangan Keningau. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button