Warganet persoal Syed Saddiq daftar sukarela vaksin AstraZeneca
TINDAKAN Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela bagi penduduk Selangor dan Kuala Lumpur semalam dipersoalkan oleh warganet.
Menurut mereka, sebagai ahli Parlimen Syed Saddiq sudah pun mempunyai kuota wakil rakyat untuk mendapatkan suntikan vaksinnya sendiri.
“Aikk. MP pun kene daftar jugak ke, bukan kalangan MP ni barisan hadapan juga ke,” tanya AFoi selepas Syed Saddiq berkongsi kegembirannya di Twitter kerana berjaya mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca.
“Anda juga mendaftar? Saya fikir sebagai MP anda layak mendapat vaksinasi MP?” tanya Redzanur Rahman.
“Dude, adakah anda sedar bahawa anda sebenarnya merebut peluang orang lain untuk mendapat vaksin lebih awal, sedangkan anda boleh menggunakan hak istimewa yang diberikan kepada anda?” soal kkrish_kumar22.
“Haishh. Kenapa turut sama join. Bagi la pada rakyat biasa dulu. Rakyat biasa ni tak tau la bila nak dapat giliran,” kata Hafiz.
“Awal-awal dulu kerajaan sudah aturkan untuk MP, kau acah-acah. Sekarang vaksin AZ ni kerajaan buka untuk penduduk Selangor dan KL secara sukarela. Bagi la rakyat Selangor dan Kuala Lumpur, kau tu MP Muar,” kata Adipati Sastroe Abd Rahman.
“Aduh. Kenapa ek ada pulak ahli politik menyemak. Bukan ke ada kuota untuk kamu?” persoal KhairlAnwar.
Sebelum itu Syed Saddiq berkata, dia telah berjaya mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca.
“Alhamdulillah berjaya daftar. Semoga semua urusan vaksinasi dipermudahkan,” katanya di Twitter.
Tidak sampai empat jam ditawarkan kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur, sejumlah 268,000 vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah semalam.
Pemberian vaksin AstraZecna secara sukarela dilakukan selepas Kerajaan menimbangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.
Untuk rekod Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19, bermula hujung bulan Februari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pertimbangan demikian diberi memandangkan tugas ahli politik yang banyak bertemu dengan rakyat.
“Kerajaan bersetuju Ahli Parlimen dan ADUN tidak kira mereka di pihak mana sekalipun, mereka akan diberikan vaksin pada fasa pertama untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan berkesan dan selamat.
“Saya minta menteri bincang dengan kepimpinan yang ada dan kita laksanakan apabila vaksin kita terima dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Untuk rekod, pada Mac, Syed Saddiq menyambung pelajarannya selama sebulah di NUS Lee Kuan Yew School of Public Policy di Singapura.-SM