Hiburan

Aman Nassim teruja bekerja dengan Afgan

Memulakan kerjaya seni pada 2012, nama Aman Nassim cukup sinonim dalam drama dan filem tempatan. Kemudian, Aman, 32, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nassim mengembangkan bakat yang ada dalam bidang nyanyian pula.

Pada 2014, Aman melancarkan single Lafaz Setia, seterusnya pada 2016 menerusi lagu Cinta Pura-Pura dan terakhir pada 2017 iaitu lagu Tunjukkan Ku Bintang.

Selepas empat tahun, ternyata, minat mendalam terhadap muzik dan nyanyian tidak pernah padam.

Terbaharu, Aman muncul dalam lagu Cinta Terakhir hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor dan dirinya sendiri yang mana lagu itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.

Menariknya, lagu itu turut dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Kisah Cinta Rumi yang bakal ditayangkan di Slot Lestary, TV3, pada 24 April ini.

Apa yang lebih membuatkan Aman teruja adalah dia dapat bekerjasama dengan komposer yang menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan.

“Lagu ini sudah siap dirakam pada penghujung 2019 dan perancangannya mahu dilancarkan di Indonesia tahun lalu. Tapi, disebab penularan Covid-19 memang tidak boleh ke sana. Jadi, buat permulaan lagu ini akan menghiasi drama sebagai lagu tema.

“Dalam masa sama, pihak syarikat masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman Rans Entertainment milik selebriti Raffi Ahmad untuk mengedarkan lagu ini di sana. Selain itu, pembikinan video muzik (MV) lagu ini juga membabitkan produksi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Semua pelakon terbabit adalah dari sana dengan gabungan dua produksi.

“MV ini sepatutnya dibuat sebelum Ramadan, tapi tak berjaya sebab pelakon utama iaitu Dimas Ahmad disahkan positif Covid-19, jadi tergendala. Insya Allah, selepas dia sembuh baharulah penggambaran MV diteruskan semula,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan Bemby Noor, Aman berkata dia mahukan single kali ini ada ciri dan bunyi lagu Indonesia.

Malah, Aman merancang lagu Cinta Terkahir itu menjadi langkah awal untuknya memasuki pasaran muzik di sana.

“Kenapa Bemby sebab saya memang nak masuk pasaran muzik Indonesia. Jadi, sebab itu saya nak lagu ini ada sentuhan lagu Indonesia. Sebab peminat di sana lebih memilih lagu mereka.

“Lagu ini juga dirakamkan di sana dan menjadi kolaborasi pertama saya dengan Bemby. Macam dikatakan tadi, saya memang perlukan sentuhan komposer Indonesia, sebab asalnya nak pasarkan lagu ini di sana. Walaupun sekarang masih tidak dapat ke sana, tapi masih boleh pasarkan lagu ini di sana menerusi kerjasama syarikat rakaman. Pendek kata, lagu ini adalah langkah awal untuk saya masuk pasaran muzik sana,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Cinta Terakhir mengisahkan cinta terkahir antara pasangan kekasih yang berjanji sehidup semati.

“Lirik lagu ini pun memparkan percintaan individu dari dua negara. Ia adalah inspirasi daripada pengalaman rakan saya. Pasangan itu berjumpa kali pertama dan terus jatuh cinta.

“Itu pun selepas mereka baharu putus cinta dengan pasangan masing-masing. Jadi mereka nak ‘move on’ dengan kisah lama dengan buka cinta kisah baharu sehingga tahap nak berkahwin. Kiranya, lagu ini adalah ‘happy ending’.

“Lagu ini bergenre pop balada dan memang bunyi lagu Indonesia. Bunyi lagu ini pun macam lagu Afgan. Apabila dapat bekerjasama dengan komposer dari negara luar, saya dapat belajar sesuatu yang baharu. Berdasarkan kajian saya, muzik dangdut masih nombor satu dan kedua adalah pop balada,” katanya.

Menurut Aman, dia bertuah apabila lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama sekali gus dapat mempromosikan lagu itu sebelum ia dibawa masuk ke pasaran muzik Indonesia.

“Apabila lagu ini menjadi lagu tema drama, ia adalah langkah awal untuk promosikan lagu ini dulu. Mungkin selepas MV keluar akan promosi lagu ini di sana walaupun secara dalam talian. Harapnya tahun ini berjaya seterusnya saya dapat keluarkan lebih banyak single untuk kerjasama dengan Indonesia atau negara lain.

“Insya Allah, jika lagu ini berjaya di sana dan saya sudah bersedia untuk ulang alik. Sebab ini yang memang saya rancang pun. Cumanya, tak boleh ke mana-mana lagi. Itu yang agak susah sikit,” katanya.

Video lirik lagu Cinta Terakhir akan ditayangkan di saluran YouTube COF Music pada 21 April ini dan video muzik rasmi pula bakal dilancarkan di saluran YouTube COF Music Indonesia selepas hari raya Aidilfitri.

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button