Nasional

Warga emas lumpuh lega dapat perbaharui MyKad

MELAKA 13 Februari – Hajat seorang warga emas ingin memiliki MyKad baharu menjadi kenyataan apabila pasukan

MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) Jabatan Pendaftaran Negara Melaka (JPNM) turun padang bagi melakukan proses
dokumen pengenalan diri.

Seramai tujuh kakitangan JPNM berkunjung melawat Meriam Ahad, 74, di Permatang Duyong melakukan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri wargaemas yang terlantar di atas katil sejak 20 tahun lalu akibat kemalangan motosikal.

Kakitangan membawa peralatan termasuk kamera untuk mengambil foto dan memasukkan data diri wanita tersebut
selepas kad pengenalan lamanya tidak berfungsi apabila kehilangan data peribadi.

Meriam berkata, dia melahirkan rasa syukur dapat memiliki MyKad baharu bagi menggantikan yang lama atas inisiatif pasukan MEKAR datang ke rumah membuat proses dokumen pengenalan dirinya.

“Sebelum ini, makcik diusung anak ke JPN, Ayer Keroh bagi membuat permohonan baharu MyKad selepas kad pengenalan makcik tidak ditukar ketika berusia 12 tahun.

“Kakitangan JPN terkejut melihat saya diusung ke sana dan mereka meminta makcik balik kerana pasukan Mekar akan berkunjung ke rumah untuk buat semua proses itu.

“Alhamdulillah, makcik rasa lega dapat MyKad baharu dan mudah anak makcik nak buat urusan bank serta mengeluarkan wang di Tabung Haji,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut salah seorang kakitangan JPN, selepas proses memasukkan data peribadi, wargaemas itu dijangka menerima MyKad baharu dalam masa terdekat.

Sementara itu Meriam masih tidak dapat melupakan peristiwa pahit 20 tahun lalu sewaktu dia menunggang motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta hingga menyebabkan dia lumpuh sehingga kini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut menyebabkan tulang belakangnya patah dan sejak daripada itu dia terpaksa berbaring di atas katil.

“Mujurlah ada anak lelaki dan menantu yang masih mahu menjaga makcik sejak terbaring. Segala makan dan minum mereka yang uruskan.

Meriam berkata, peluangnya ketika itu hanya 50-50 untuk hidup akibat kecederan teruk namun bersyukur kerana masih bernafas sehingga sekarang walaupun hanya terlantar di atas katil.

Katanya, dia menerima suratan takdir yang menimpanya begitupun tidak pernah putus asa meneruskan saki-baki kehidupan walaupun tidak dapat berjalan seperti orang lain.

“Alhamdulillah! Makcik masih sihat, boleh mendengar dan kenal orang walaupun terlantar atas katil sepanjang hayat.

“Dulu makcik berniaga depan rumah tetapi sekarang tidak lagi. Makcik sebenarnya rindu nak berniaga tapi apa boleh buat dalam keadaan begini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button