PERINGATAN untuk rakyat Perlis. Jangan salah faham apabila pintu masuk sempadan Wang Kelian dibuka pada 1 April ini sehingga beramai-ramai menyerbu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian hanya kerana mahu melancong ke Thailand.
Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri, Ruzaini Rais berkata, sebenarnya pembukaan pintu masuk Wang Kelian ini hanya kebenaran penggembara (pelancong) dari Thailand masuk ke negara ini.
“Setakat ini kerajaan Thailand belum bersedia untuk memberi kebenaran penggembara (pelancong) dari negeri ini melancong ke sana melalui pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membuat tinjauan bersama media sebelum pembukaan semula ICQ Wang Kelian.
Turut sama dalam tinjauan itu, Ketua Pos Imigresen Wang Kelian, Rohaizat Khamis.
Ruzaini berkata, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis dan Jabatan Kesihatan Perlis sibuk membuat persiapan terakhir sebelum menerima penggembara (pelancong) dari Thailand.
Bagaimanapun katanya, setiap penggembara (pelancong) dari Thailand perlu melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat sebelum memasuki negara ini.
“Penggembara (pelancong) perlu memuat turun aplikasi MySejahtera ke dalam telefon pintar masing-masing bagi kemudahan mengisi maklumat yang diperlukan,” katanya.
Ruzaini berkata, sehingga kini pihaknya tidak dapat menjangka jumlah kemasukan penggembara (pelancong) pada hari pembukaan pintu sempadan nanti.
Beliau berkata, kemungkinan dengan SOP ketat ini akan menyebabkan jumlah kemasukan penggembara (pelancong) pada peringkat awal ini tidak ramai.
Ruzaini berkata, jika gagal mematuhi SOP, kemasukan penggembara (pelancong) Thailand akan disekat daripada masuk ke Malaysia. – SM