NasionalNegeri

Warga Kuala Perlis perlu tekankan kebersihan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aspek kebersihan perlu sentiasa diberi penekanan utama oleh seluruh warga Kuala Perlis.

Masyarakat setempat di Kuala Perlis secara umumnya dimohon untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membantu meningkatkan amalan kebersihan masing-masing terutama sekali dalam penjagaan alam sekitar dan tandas awam di lokasi-lokasi tumpuan pelancong, premis makanan seperti restoran, kedai, warung, parkir-parkir kereta ke Langkawi dan lain-lain lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan merasmikan Cyber Cafe PAK-21 di SMK Kuala Perlis.

Ini adalah kerana sekitar Kuala Perlis merupakan antara tumpuan utama di negeri ini bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2023-2024.

Jeti Kuala Perlis, Masjid Al Hussain yang juga dikenali sebagai masjid terapung, Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kampung Wai dan juga pelbagai tempat makan menarik seperti laksa, ikan bakar, dan ‘makanan laut’ dijangka terus menjadi tumpuan utama para pelancong.

Pada masa yang sama warga Kuala Perlis juga dimohon untuk terus mengamalkan sifat ramah mesra, baik budi bahasa dan bersopan santun mereka ketika berinteraksi dan menyantuni para pelancong seperti sebelum ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan menerima sembah mengadap para pelajar sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah SMK Kuala Perlis, Pekan Kuala Perlis, Kangar.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis, Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri yang disertai oleh seramai 360 orang pelajar.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Kuala Perlis, Hamran Jantan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar seluruh warga sekolah ini dapat kongsikan maklumat ini kepada ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga bagi sama-sama menjayakan Tahun Melawat Perlis yang akan muncul tiba tidak lama lagi..

Sementara itu, Hamran dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan kepada Baginda serta sekalian yang hadir bahawa SMK Kuala Perlis telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan berkenan bertitah sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah SMK Kuala Perlis, Pekan Kuala Perlis, Kangar.

SMK Kuala Perlis telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam SPM 2022 iaitu peningkatan berturut-turut setiap tahun dari tahun 2020 hingga 2022 iaitu peningkatan GPS 5.70 kepada 5.24.

Sementara lulus layak sijil meningkat daripada 75.4 peratus kepada 90.41 peratus dan dua orang murid mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Kejayaan gemilang turut dilakar dalam bidang kokurikulum apabila SMK Kuala Perlis telah dinobatkan sebagai johan bagi Kejohanan Olahraga MSSPs 2023, Johan Merentas Desa MSSPs 2023, Johan Hoki Lelaki Bawah 18 Tahun MSSPs 2023 dan Johan Bola Keranjang Lelaki Bawah 18 MSSPs 2023.

Seramai 5 orang pemain bola keranjangnya telah terpilih mewakili negeri Perlis ke peringkat MSSM.

Selain itu, pasukan Student Voices Group sekolah ini telah merangkul Kejuaraan dalam pertandingan Video Kreatif Peringkat Negeri Perlis.

Manakala dalam bidang koakademik pula, Koperasi sekolah telah berjaya menyandang Johan Pertandingan Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) 2023 peringkat Negeri Perlis.

Pasukan Choral Speaking, Public Speaking dan Pertandingan Hafazan Lelaki Mahrajan Program Pembangunan Adab dan Nilai mendapat Naib Johan Peringkat Negeri Perlis.

Pendidikan Khas juga tidak terkecuali daripada mengharumkan nama sekolah apabila terpilih ke Kejohanan Olahraga MSSM Pendidikan Khas dalam acara merejam lembing dan Kejohanan E-Cup Stacking Peringkat Kebangsaan Pendidikan yang akan berlangsung Oktober ini.

Selain itu, Karya Seni Kraf Clay Art sentuhan kreatif anak-anak PPKI sangat membanggakan sekolah apabila dijadikan hadiah rasmi pertandingan E-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan.

Clay Art juga menjadi hasil inovasi yang dipertandingkan di Seminar Pendidikan Khas Peringkat ASEAN dan menjadi cenderamata hingga peringkat antarabangsa.

Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan penyempurnaan perasmian Cyber Cafe PAK-21 oleh Raja Muda dan Raja Puan Muda.

Cyber cafe diwujudkan bagi memberi perkhidmatan kepada para pelajar untuk mendapatkan akses kepada internet dengan mudah dan pada bila-bila masa sahaja. Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi juga dijalankan di cafe ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button