Warga emas OKU ditemukan rentung dalam kebakaran
SEORANG warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan rentung dalam bilik tidur di rumahnya di Jalan Bagan Ikan, Bagan Datuk, Perak, pada pukul 6.45 pagi tadi.
Mangsa Ong Chock Seng berumur 80 tahun tidak mampu berjalan serta menggunakan kerusi roda, gagal menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian, anak dan cucu mangsa yang menjaganya tiada di rumah kerana mereka keluar bersarapan.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri, kebakaran tersebut membabitkan lima buah rumah.
“Bomba dan penyelamat mengambil masa tiga jam untuk memadam kebakaran yang melibatkan lima buah rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – SM