Nasional
Warga emas maut selepas sesak nafas tercekik biji rambutan
GARA-GARA tercekik biji rambutan hingga sesak nafas menyebabkan seorang wanita warga emas maut setelah di rumahnya dekat Felda Lawin Utara, Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada Ahad malam.
“Kira-kira jam 8.30 malam, pihak polis dimaklumkan berkaitan kematian seorang wanita berusia 72 tahun di Klinik Kesihatan Lawin.
“Siasatan awal dijalankan di klinik tersebut dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang wujud pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurut Zulkifli, sebelum itu, anak mangsa iaitu wanita berusia 46 tahun memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika mangsa berada di beranda depan rumah.
“Semasa mangsa hendak dibawa masuk ke dalam rumah oleh anaknya, secara tiba-tiba dia sesak nafas dan terus dibawa ke Kinik Kesihatan Lawin.
“Mangsa diperiksa dan didapati sesuatu terlekat di bahagian kerongkongnya yang disyaki biji buah rambutan,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diberikan bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan, namun disahkan meninggal dunia.
Zulkifli berkata, bedah siasat dijalankan dan Bahagian Forensik Hospital Daerah Gerik mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan asphyxia (sesak nafas).
Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. – SM