NasionalNegeri

Warga emas mangsa pertama kes kelesuan haba di Sabah

SEORANG warga emas berusia 61 tahun menjadi mangsa pertama kes kelesuan haba akibat cuaca panas di Sabah setakat ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata ia menjadikan masalah kesihatan akibat cuaca panas yang direkodkan di negeri itu meningkat kepada empat kes sejak 15 April lalu.

Katanya, tiga kes yang dilaporkan sebelum ini dikaitkan dengan strok haba yang telah sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

“Terdapat pertambahan satu kes berkaitan cuaca panas iaitu seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik dimasukkan ke wad pada 17 Mei dan dibenarkan keluar pada 18 Mei lalu selepas mendapatkan rawatan untuk kelesuan haba.

“Kes ini dirawat di sebuah hospital swasta. Gejala kelesuan haba adalah sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, kelesuan, kekejangan otot dan suhu badan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan perkara itu, Rose Nani menasihatkan penduduk di negeri berkenaan mengambil langkah untuk mengelakkan dehidrasi.

“Ia termasuk meminum banyak air kosong, memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah, berehat di tempat yang sejuk dan mempunyai pengudaraan yang baik serta mengelakkan pakaian yang memerangkap haba.

“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit berkaitan cuaca panas,” katanya. – SM

BACA Seorang lagi budak maut akibat strok haba

BACA Tiga kes strok haba di Sabah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button