Alam SekitarKesihatanNasionalNegeri

Tiga kes strok haba di Sabah

TIGA kes strok haba dilaporkan di Sabah dari 15 April sehingga Jumaat lalu, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke hospital pada 15 April lalu dan dibenarkan pulang tiga hari kemudian.

Katanya, kes kedua membabitkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke hospital pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei lalu.

CUACA panas dan kering boleh menyebabkan strok haba jika terdedah di bawah cahaya matahari. – GAMBAR GOOGLE – GAMBAR HIASAN

“Kes ketiga pula ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.

“Ketiga-tiga pesakit selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, cuaca panas melampau boleh menyebabkan kerap berpeluh dan cecair dalam badan berkurangan.

Katanya, kanak-kanak dan warga emas paling berisiko berdepan masalah kesihatan akibat cuaca panas.

Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual, selain boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.

Justeru beliau menyarankan orang ramai menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, lari maraton, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

“Orang ramai juga disarankan memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah.

“Berehatlah secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti.

“Orang ramai juga digalakkan memakai pakaian ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan berpakaian warna gelap, tebal dan ketat,” ujar beliau.

Beliau berkata, juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan bertutup tanpa pendingin hawa.

Beliau juga meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba. – SM

 

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button