Nasional

Warga Bangladesh guna pas pelajar kaburi aktiviti pemalsuan dokumen

JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam satu Operasi Khas pada 4 Julai 2024 di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada pukul 8.30 pagi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen  Putrajaya.

Katanya. berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 24 tahun di hadapan sebuah hotel.

“Hasil soal siasat, pasukan operasi diatur gerak ke sebuah bilik hotel yang dijadikan markas aktiviti suspek.

“Hasil semakan awal mendapati, suspek memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen.

“Pasukan operasi telah merampas sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak, 37 naskhah pasport Bangladesh disyaki palsu, dua naskhah pasport India disyaki palsu, enam naskhah pasport Indonesia disyaki palsu, 43 keping kulit pasport Bangladesh, 29 keping kulit pasport India, 18 keping kulit pasport Indonesia, lima keping kulit pasport Filipina, tujuh keping kulit pasport Nepal, sembilan helai dokumen e-visa elektronik disyaki palsu, empat helai borang pemeriksaan FOMEMA disyaki palsu, kertas yang bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu,” katanya.

Kata Ruslin, modus operandi sindiket adalah bergerak secara individu dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu kepada warganegara asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sindiket itu katanya, menggunakan pasport tersebut untuk mendapatkan dokumen FOMEMA.

“Bayaran yang dikenakan sebanyak RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport dan dipercayai menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 naskah pasport sehari. Sindiket ini  dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan.

“Suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Seorang lelaki warganegara tempatan diberikan Notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button