Hiburan

Waran tangkap untuk Muhammad Sajjad

Usahawan kosmetik miliki 11 produk bukan keluarannya

WARAN tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas Muhammad Sajjad tidak hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes terhadap dirinya semalam.

Memetik laporan MStar, Muhammad Sajjad dituduh memiliki 11 jenis produk yang bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bertujuan untuk dijual mengikut Peraturan 7 (1) (a) Dadah dan Kosmetik 1984.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Nor Aini Suzila Zakariahdar dari Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Pada 15 Ogos lalu, pihak CPF membuat pemeriksaan ke atas premis perniagaan milik Muhammad Sajjad di Shah Alam.

Hasil pemeriksaan tersebut, pegawai CPF mendapati terdapat produk disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati, syarikat diperiksa itu adalah berdaftar dan semua produk dirampas adalah milik Muhammad Sajjad yang merupakan pengarah urusan syarikat berkenaan. Semua produk dirampas.

Berdasarkan keterangan, syarikat itu telah melanggar Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Muhammad Sajjad sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah yang sama pada 14 Disember 2018 atas pertuduhan mengikut Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Dia juga pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan yang tidak berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada 12 Mei tahun lepas.

Ia susulan tindakan KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda sebelum merampas 19 produk kecantikan tidak berdaftar bernilai hampir RM10,000. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button