Kemalangan

Wanita maut langgar belakang Perodua Myvi

iSeorang wanita maut selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Lebuh SPA Terminal Kenderaan Berat, Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Marfuza Arnida Marrudzuki, 23, dari Sungai Udang bekerja di sebuah restoran makan segera di Ayer Keroh.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 10.50 pagi, mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz berwarna kelabu dalam perjalanan dari Batu Berendam ke Ayer Keroh.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Perodua Myvi yang datang dari Batu Berendam hendak ke tempat kerja di Ayer Keroh telah berhenti di persimpangan
lampu isyarat Lebih SPA Gangsa ketika lampu isyarat berwarna merah,” ujarnya.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat bertukar warna hijau secara tiba-tiba datang motosikal yang dinaiki mangsa dari arah belakang terus melanggar bahagian sebelah kanan kereta yang dipandu Anas Rifdi Arba’in, 24.

Arshad berkata, akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 7.30 petang pihak hospital memaklumkan Marfuza Arnida disahkan meninggal dunia sewaktu mendapat rawatan akibat pendarahan di perut,” ujarnya.

Menurutnya, saksi bebas diminta tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, pemandu Perodua Myvi juga turut disahkan positif dadah jenis ganja. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button