Wanita gempar jumpa babi hutan berehat atas sofa
SEORANG wanita tergamam apabila dia menemui seekor babi hutan yang kesejukan memecah masuk ke rumahnya dan berehat di atas sofa.
Menurut Daily Star, wanita yang tidak dinamakan itu masuk ke ruang tamu rumahnya dan mendapati seekor binatang besar sedang bersantai di dalam rumahnya di Hagen, Jerman pada empat Februari lalu.
Babi hutan itu, dengan jarak hanya tiga meter daripada wanita itu, kelihatan sangat selesa berada di atas sofa tidak menyedari kehadirannya.
Polis berkata, pemilik rumah menutup pintu dengan serta-merta dan pegawai bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden itu.
“Babi hutan itu telah merosakkan perabot dan telah membuat dirinya selesa di atas sofa ruang tamu.
“Ia mungkin masuk ke dalam rumah melalui pintu teres dan apabila pintu tertutup, ia terperangkap,” kata Polis Hagen dalam satu kenyataan.
Babi hutan itu kemudiannya dengan mudah keluar daripada rumah apabila pintu dibuka.
Menurut polis, haiwan berbahaya itu kemudian melompat ke atas pagar, lapor Zenger News. – SM