Mahkamahpilihan

Wanita dihadap ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan bunuh suami!

Klang: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu kejadian rompakan palsu di Taman Anika Baru, Sungai Udang, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Leong Eng Eng, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Turut didakwa adalah tiga lelaki termasuk dua beradik iaitu Lim Yon Hay, 36; Lim Yon Loon, 31, dan Mok Kum Loon, 37.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan yang juga jurubahasa bebas bersama pasangan adik beradik itu didakwa membunuh dengan mengakibatkan kematian Chow Tiam Hee, 41.

Justeru ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Manakala, Mok didakwa bersubahat membantu Eng Eng bersama dua beradik berkenaan untuk membunuh mangsa dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang di sini antara jam 1.20 pagi hingga 1.40 pagi, 15 September lalu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Eng Eng, Jarrett Ong memohon jaminan bagi anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penjaga tunggal dua anak yang berusia lima dan tujuh tahun selain memberi kerjasama baik dengan polis.

Mahkamah menolak permohonan itu dan menetapkan sebutan kes pada 21 November depan.

Dua lagi tertuduh iaitu Yon Loon dan Kum Loon masing-masing diwakili peguam Ethan Tan dan V Ayasamy.

Media pada Isnin lalu melaporkan seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rancangan pembunuhan suaminya dalam kejadian di Taman Anika Baru, Sungai Udang, dekat sini, pada 15 September.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button