Jarak umur bukan penghalang percintaan Shila Amzah dengan influencer TikTok
PENYANYI Shila Amzah mengaku sedang bercinta dengan Pempengaruh TikTok, Ubai sejak setahun yang lalu.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 33, janda anak satu, mengaku sudah berkawan dengan pemilik akaun TikTok tersebut sejak tahun lalu.
“Cinta bermula dengan sebuah skuter. Sebenarnya perkenalan sudah lama tetapi kejadian tersebut yang mengerakkan hati saya,” katanya tanpa memperincikan kisah tersebut dalam siaran langsung TikTok.
Malah hubungan mereka direstui kedua orang tua dan kenalan rapat jejaka berusia 25 tahun itu walaupun beza umur antara pasangan dua sejoli ini ialah lapan tahun.
Menurut Ubai Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, dia sudah mengenali Shila sejak tahun 2011 namun hubungan mereka bertambah erat selepas penyanyi itu melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadinya.
“Sejak tahun lepas hubungan kami menjadi semakin rapat selepas dia mengalami fasa sukar dalam hidupnya (bercerai).
“Sebagai kawan, saya sentiasa mahu yang terbaik untuk Shila dan ada disampingnya saat dia memerlukan teman untuk meluahkan segala ujian yang dilalui.
“Tak sangka hubungan itu lama-kelamaan menjadi semakin serius dan semalam, dia berkongsi mengenai hubungan kami ketika siaran langsung di TikTok,” jelas Ubai.
Pelantun lagu Patah Seribu itu turut mengharapkan netizen tidak membuat sebarang spekulasi tentang hubungan mereka.
Alasan Shila, dia juga seperti orang lain, mengharapkan yang terbaik untuk hari-hari esok yang bakal dilalui.
Menerusi siaran langsung itu juga, Shila beberapa kali dilihat memanggil Ubai dengan panggilan ‘sayang’.
Untuk rekod, Shila bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais. – SM