Nasional

Veteran ATM tidak boleh tubuh parti politik

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VATM) tidak boleh menubuhkan parti politik Parti Kemakmuran Negara kerana menyalahi Seksyen 14, Akta Veteran 2012 (Akta 740).

Menurut Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) berdasarkan akta tersebut, aktiviti sesebuah persatuan veteran yang berdaftar di bawah jabatan itu tidak boleh mempunyai kecenderungan politik.

“Sesebuah persatuan veteran yang berdaftar di bawah JHEV ATM hendaklah menjalankan aktiviti persatuannya tanpa diskriminasi tentang jantina, bangsa, agama, asal usul, bahasa, kecenderungan politik atau apaapa pandangan lain yang dipegang oleh ahlinya.

“Justeru, mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti atau kegiatan politik sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah menyalahi Akta 740,” kata JHEV ATM dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan pembatalan atau penggantungan pendaftaran Veteran Angkatan Tentera Malaysia boleh diambil oleh Pendaftar di bawah Seksyen 18, Akta 740.

JHEV ATM menegaskan, kenyataan Veteran ATM kononnya Parti Kemakmuran Negara ditubuhkan kerana kegagalan Kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat khususnya melibatkan anggota persatuan itu adalah salah.

Malah kenyataan tersebut juga tidak menggambarkan realiti semasa kerana Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha untuk memperjuangkan nasib warga Veteran ATM.

Pada 4 Mei lalu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menubuhkan Parti Kemakmuran Negara (Kemakmuran) untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat dan veteran tentera.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Parlimen 15.21, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) berkata, parti KEMAKMURAN akan meletakkan 50 calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 kelak.

“Kita telah mengenal pasti 50 kawasan, tetapi kita sedang di dalam kajian strategik bagi menempatkan calon-calon tersebut.

“Setakat ini kita mengambil peluang-peluang sedia ada dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai majoriti anggota tentera yang sedang bertugas, kem-kem dan tempat yang ramai veteran bermastautin,

“Berdasarkan situasi politik, kita pertimbangkan untuk bertanding di kawasan yang mana kita punya peluang untuk menang,” katanya pada sidang media “Veterans March to Parliament” (V4MP) di Hotel Royale Chulan, hari ini.

Beliau berkata, penglibatan veteran dalam penubuhan parti politik tersebut adalah atas dasar peribadi dan secara sukarela dengan tidak melibatkan mana-mana persatuan atau kelab veteran yang sedia ada.

“Ini kerana pematuhan terhadap Akta Veteran tahun 2012 (Akta 740) yang melarang persatuan dan kelab veteran dari telibat dalam aktiviti politik,” jelasnya.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button