Vaksin: Panggilah saya apapun, saya tetap bertegas – KJ
BARU-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengatakan tindakan Menteri Kesihatan yang mahu menghukum golongan yang enggan menerima vaksin Covid-19 sebagai langkah sombong.
Khairy Jamaludin Abu Bakar bagaimanapun telah tampil membidas kenyataan Ketua Pembangkang itu melalui ciapannya di Twitter.
Secara halus, dia meminta maaf bahawa akan tetap bertegas terhadap kumpulan tersebut walaupun dilemparkan dengan gelaran dajal.
Menurut Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan telahpun memberikan penerangan secara saintifik dengan menyeluruh kepada semua rakyat mengenai keberkesanan vaksin.
“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita sudah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi dan kita terus memberi penerangan.
“Saya minta maaf saya terpaksa bertegas dalam isu ini. Panggilah saya dajal atau apa sekalipun,” ciapnya di Twitter.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan tetap menyebarkan kesedaran dan penerangan tentang keberkesanan Covid-19.
Kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka yang pilih untuk menolak vaksin.
Anwar sebelum ini berkata bahawa dia tidak setuju dengan Khairy Jamaluddin yang mengambil pendekatan ‘paksaan’ terhadap rakyat Malaysia yang enggan menerima vaksin.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa kerajaan sepatutnya memberi kesedaran kepada mereka mengenai keperluan menerima vaksin.
“Kumpulan anti vaksin ini saya tidak sokong. Tetapi, kadang-kadang hujah mereka ini ada kuat juga. Jadi, kita jawab dengan hujah, dia bagi kertas saintifik, kita bawa hujah saintifik yang lebih kuat untuk mematahkan hujah dia.
“Janganlah fikir nak hukum dan ugut. Ini cara sombong dan kita tidak boleh terima,” katanya semalam.- SM