Komentar
SEINGAT Suara Merdeka ada lah pernah berlaku usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen.
Usul ini pernah dikemukakan di Parlimen pada 1997 ke atas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pada 2003 terhadap Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Cuma senario semasa tanah air sekarang ini agak begitu canggung diperdengarkan istilah “usul undi percaya” ini. Yang biasa digunakan adalah usul undi tidak percaya.
Undi tidak percaya merupakan satu penyataan atau undi yang menyatakan bahawa seseorang dalam kedudukan tanggungjawab (kerajaan, pengurusan dan lain-lain) tidak lagi dianggap sesuai untuk memegang jawatan tersebut.
Ini termasuk disebabkan tidak layak dalam hal tertentu, gagal melaksanakan kewajipan atau membuat keputusan yang dianggap merugikan. Dalam gerakan parlimen, ia merujuk kepada kehilangan keyakinan (satu atau lebih anggota) terhadap ketua kerajaan yang dilantik.
Di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan di negara ini, tiada sesiapa yang boleh menurunkan seseorang Perdana Menteri kecuali dengan undi tidak percaya di Parlimen.
Dengan cara itu, waima dipetisyenkan pun kepada Yang di-Pertuan Agong, ia tidak boleh berlaku disebabkan proses Perkara 43 berkenaan harus dilalui dengan kadar begitu.
Justeru apabila Pas cuba membawakan usul undi percaya ke Dewan Rakyat agar Tun Dr Mahathir kekal Perdana Menteri, maka semestinya ia suatu tindakan yang agak canggung.
Kalau pemerhati luar atau penganalisis ekonomi ‘read between the lines’ usul undi percaya ini, pastinya tampak kepincangan dalam pentadbiran negara.
Padahal semua jentera kerajaan berfungsi macam biasa. Kehidupan berjalan dan rakyat hidup aman harmoni.
Begitupun dalam hal sebegini, tidak semudah mana hendak menjadi Perdana Menteri, sekali gus disepak dari sudut terus masuk gol. Sukar. Ia mesti dengan keampuhan goalie (penjaga gol) yang ada. Dan goalienya adalah Dr. Mahathir.
Sedangkan goalie ini cukup cekap kendalikan gol dan kita maklum dalam perjuangan politik tanah air, Suara Merdeka belum terjumpa mana-mana pemimpin yang cekap daripada beliau dan tak begitu banyak sifat itu luntur, waima beliau di usia 94 tahun.
Dengan pandangan sebegitu, Suara Merdeka tidak ketepikan kemungkinan Dr Mahathir terus menyandang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal ini.
Jika begitu andaiannya, tentu orang-orang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, “ha! sudah mungkiri janji”.
Maaf ya, ini bukan janji yang dimeterai oleh Commissioner of Oaths atau Pesuruhjaya Sumpah.
Ini adalah komitmen politik yang ada beberapa lapisan atau babnya yang perlu dipatuhi dan diisi.
– SM