Rencah Hidup

Usahawan kosmetik ditengking ketika buat live FB

TIDAK siapa menduga apatah lagi empunya diri seorang usahawan wanita yang dikatakan personaliti media sosial, terkejut apabila dia bukan sahaja ditengking tetapi juga dihalau keluar oleh pemilik restoran asam pedas popular di Bandar Hilir, Melaka.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna berkongsi sedutan video yang dirakamkan oleh usahawan berkenaan, Eira Aziera untuk tatapan umum.

Video berdurasi satu minit menunjukkan Eira yang berusia 37 tahun sedang membuat siaran secara langsung (live) untuk prebiu produk di dalam restoran berkenaan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 10 September, baru-baru ini.

Usahawan kosmetik itu memberitahu, dia sememangnya berpengalaman membuat prebiu produk dalam membantu para peniaga tempatan secara dalam talian.

Secara tiba-tiba sahaja pemilik restoran itu meninggikan suaranya kerana tidak membenarkan Eira membuat prebiu produk.

Pemilik restoran berkenaan turut menyarankan mereka hanya boleh makan dan kemudian pulang.

“Buat prebiu produk ini boleh dalam talian (online) dan lokasinya pula di mana-mana. Tidak ada yang secara khusus (specific).

“Semasa itu, saya bersama kira-kira 10 pengikut (followers) saya ada sekali makan di restoran berkenaan.

“Bukannya suara saya kuat tetapi apabila sudah beramai, suasana jadi riuh sedikit kerana masing-masing dapat berkumpul.

“Tetapi tidak sangka pula, sewaktu menunggu makanan yang dipesan sampai, pasangan suami isteri yang merupakan pengusaha restoran berkenaan, menengking saya dari jauh,” katanya.

Malu selepas ditengking, usahawan itu bertindak mengajak ahli kumpulannya yang 10 orang itu, meninggalkan presmis berkenaan.

Masa insiden itu berlaku, ada lebih 10,000 pengikut (followers) yang sedang mengikuti live dan mereka dapat mendengar, suara tengkingan oleh pakcik dan makcik itu, kata Eira.

“Ekoran itu, saya merasa malu dan mengambil keputusan, angkat kaki,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang 14 tahun berniaga dan membuat prebiu, itulah kali pertama beliau dimalukan sebegitu.

“Bukannya saya pergi dari meja ke meja untuk menjual produk pun,” jelas beliau.

Di laman sosial, terdapat wargamaya turut sama berkongsi pengalaman buruk ketika makan di restoran tersebut.

“PKP atau tidak PKP ke kedai ini memang sama aje. Dua tiga kali pergi, dapat bezakan macam mana servisnya memang teruk. Betul cakap,” dakwa seorang wargamaya.

Sehingga kini, video tersebut mendapat hampir 1.3 juta tontonan warga Twitter. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button