fbpx
Politik

Husam bukan lagi Naib Presiden Amanah

SENATOR Datuk Husam Musa hari ini disahkan tidak lagi memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau dilapor menyerahkan surat perletakan jawatan itu kira-kira dua minggu lalu.

Bagaimanapun, perletakan jawatan itu diterima selepas perkara itu dibawa ke mesyuarat bulanan parti pada 6 September lalu.

Keputusan perletakan jawatan oleh Ahli Dewan Negara itu sebelum ini didakwa berpunca daripada krisisinya dengan Presiden, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun perkara itu dilaporkan sebagai tidak berasas.


Sebaliknya, perletakan jawatan adalah bagi memberi laluan kepada beliau untuk fokus usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan.

“Permohonan perletakkan jawatan ini adalah untuk membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan.

“Khasnya di kawasan parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.

“Ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke15.”

Demikian kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam satu kenyataannya hari ini.

Pergeseran dengan Mohamad juga dinafikan Husam yang mendakwa isu berkenaan adalah sengaja diada-adakan.

“Itu tidak benar. Saya menafikan kandungan artikel itu. Ini rekaan,” katanya merujuk kepada dakwaan yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Khalid turut menyatakan Husam tetap berperanan di peringkat kebangsaan.

Ini bermakna, walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Naib Presiden, namun Husam diperlukan Amanah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru, beliau diminta untuk bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro dan memantau fungsinya.

“Tiga biro ini adalah biro pilihan raya, biro komunikasi dan biro strategi.

“Kertas cadangan berhubung peranan barunya sedang disediakan untuk persetujuannya,” ujarnya.

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button