Nasional

Medan ujikaji pelajar duduki SPM sahaja?

KOMENTAR

APABILA UPSR dan PT3 bagi Tahun 2020 dibatalkan akibat penularan COVID-19, inilah yang dikatakan kebiasaan baharu (New Normal) yang perlu disesuaikan untuk ditempuh oleh pelajar, guru dan ibu bapa.

Ya, penilaian boleh dijalankan terhadap pelajar dengan pelbagai cara. Ia tidak harus tertumpu kepada aspek akademik sahaja.

Contohnya dari segi pemikiran kreatif serta inovatif seperti yang dipraktikkan banyak oleh negara luar.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian murid.

Ini supaya mereka tidak hanya belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperoleh boleh digunakan pada masa-masa akan datang atau sebaliknya.

Penilaian untuk pelajar PT3 misalnya boleh dibuat seperti sistem pemarkahan daripada tugasan tambahan seperti yang dilaksanakan di peringkat universiti.

Tugasan yang diberi dapat membantu pelajar agar lebih memahami subjek yang diajar dengan lebih kreatif dan kritis.

Pada masa sama, pembatalan kedua-dua peperiksaan itu boleh dijadikan medan ujikaji untuk suatu hari kelak pelajar tidak perlu lagi menghabiskan sukatan pembelajaran dalam tempoh enam tahun dan tiga tahun untuk peperiksaan UPSR dan PT3.

Mungkin mereka hanya mengambil satu peperiksaan awam sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tempoh masa belajarnya mencecah 11 tahun sejak dari tahun (darjah) satu hinggalah tingkatan lima.

Dengan itu beban pelajar untuk menghabiskan sukatan dalam tempoh masa yang singkat dapat dihapuskan.

Pembatalan UPSR dan PT3 untuk tahun 2020 ini juga boleh dijadikan eksperimen untuk mencipta kaedah pembelajaran lebih baik bagi pengambilan UPSR dan PT3 tahun 2021.

Antaranya, ia nanti dapat meringankan beban guru apabila para guru tidak diwajibkan untuk mengadakan kelas
tambahan sebaik sahaja tamat sesi persekolahan pada setiap hari. Ini boleh dilakukan dengan memperkasakan e-learning.

Langkah mengurangkan pengambilan subjek dalam peperiksaan yang diduduki juga perlu difikirkan.

Hal ini dapat membantu pelajar memberi fokus sepenuhnya kepada subjek yang lebih penting seperti Bahasa Malaysia, Bahasa
Inggeris, Matematik dan Sains.

Ia berdasarkan aspek kritikal yang disenaraikan dalam dasar pembangunan negara iaitu menjadikan sains dan
teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio ekonomi yang memerlukan usaha untuk membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik.

Dalam arus pemodenan kini, penguasaan bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah penting. Selain bahasa ibunda, bahasa Inggeris amat penting dalam arus globalisasi bagi melancarkan sistem pentadbiran negara dan peningkatan ekonomi.

Begitupun, dikhuatiri akibat tidak berasa risau lagi kerana tiada peperiksaan yang akan diambil dan hanya perlu menduduki SPM yang masih lambat lagi untuk diduduki. Ini nanti meninggalkan kesan seperti membantutkan sistem pendidikan negara.

Sikap pelajar yang merasakan tidak perlu untuk belajar bersungguh-sungguh kerana tetap akan dapat meneruskan pembelajaran mereka ke tingkatan 4 tanpa sebarang tekanan daripada guru mahupun ibu bapa.

Akibatnya, produktiviti seluruh sekolah mengalami penurunan dan reputasi sekolah juga terjejas kerana sikap negatif segelintir pelajar ini yang menular bagaikan virus epidemik. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button