UPSI optimis rangkul 15 pingat emas SUKIPT 2022
Tuan rumah kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Edisi ke-5 yang sedang berlangsung, kontinjen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mensasarkan sekurang-kurangnya raih 15 pingat emas untuk penganjuran edisi kali ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata sasaran awal 15 pingat emas tersebut tidak mustahil buat kontinjen UPSI yang kini berada di kedudukan lima teratas jika dibandingkan prestasi anak-anak buahnya dalam penganjuran SUKIPT edisi yang sebelumnya iaitu tahun 2018.
“Jika edisi SUKIPT sebelum kita berada di kedudukan yang kelapan terbaik secara keseluruhan, tidak mustahil UPSI mampu menggondol lebih banyak pingat lebih-lebih lagi menjadi hos penganjuran edisi ini,” katanya.
“Alhamdulillah, pada hari pembukaan atlet acara silat berjaya menghadiahkan sebutir emas dan UPSI amat optimis untuk mengungguli lebih banyak acara selepas ini seperti karate, memanah, lawn bowl, renang, olahraga dan sofbol” katanya yang ditemui selepas majlis perasmian perkampungan sukan di Gelanggang Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program Perkampungan Sukan SUKIPT 2022 dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Norisma Mohd Ismail sekali gus meraikan ketibaan 66 kontinjen kalangan IPTA dan IPTS seluruh tanahair.
Norisma turut menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil kontinjen dan mengalu-alukan ketibaan para kontinjen ke temasya sukan gilang-gemilang itu untuk memartabatkan penganjuran SUKIPT sebagai yang terbaik selain mencungkil bakat-bakat baru atlet di peringkat pengajian tinggi.
Ketua Sekretariat SUKIPT 2022, Datuk Dr Pekan Ramli berkata tradisi penganjuran Perkampungan SUKIPT yang diadakan bertujuan meraikan para atlet yang berkampung di kampus saling berkenal satu sama lain dan mengeratkan silaturahim antara para kontinjen.
“Tidak mustahil penganjuran di UPSI pada kali ini lebih meriah berbanding pada tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya lanjut.