Nasional
UPSI, MPP bersama perkasa mahasiswa
PENGURUSAN Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) senantiasa membuka ruang kerjasama bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam membangunkan dasar dan membela hal kebajikan mahasiswa..
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, demi pengupayaan MPP, UPSI sentiasa bekerjasama bagi mendepani isu dan kebajikan mahasiswa selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa.
“Saya melihat bahawa pelbagai inisiatif dilakukan oleh MPP kepada mahasiswa setiap tahun dengan menyediakan peruntukan bajet tetap untuk MPP salurkan kepada persatuan pelajar.
Selain itu, katanya, MPP dilantik sebagai ahli Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA ) juga Senat untuk membantu membuat dasar universiti.
Kerjasam dengan MPP, katanya, selaras dengan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi terhadap Agenda Ke-11 iaitu Pemerkasaan Mahasiswa IPT.
“MPP juga dapat membantu memastikan aspek kebajikan mahasiswa sentiasa dijaga melalui kerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, kolej kediaman dan fakulti, ” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin , berkata, MPP mewakili lebih 20,000 pelajar UPSI pelbagai peringkat pengajian dan sumbangan idea mereka sentiasa diperlukan supaya wujud keselarasan dalam merancang tindakan oleh universiti.
“Saya gembira dengan segala sumbangan MPP yang sentiasa komited dan kreatif dengan idea-idea baharu demi manfaat semua pelajar ,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Bersama Badan-badan Pelajar UPSI di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah baru-baru ini.
Yang Dipertua MPP, Nik Ahmad Nuri Nik Ismail menyifatkan peluang itu adalah satu proses pembelajaran kepada semua ahli MPP dalam memahami aspek pengurusan pelajar di universiti.
Katanya, ruang tersebut juga akan digunakan sebaiknya terutama dalam usaha memastikan matlamat kebajikan dan pembangunan mahasiswa dipelihara dan dikembangkan untuk kebaikan semua pihak.
“Selaras dengan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa, pihak MPP turut diberi tanggungjawab dan kuasa yang bersesuaian untuk merancang, meluluskan dan melaksanakan aktiviti atau program pelajar yang dianjurkan oleh mana-mana badan pelajar di peringkat universiti.
Nik Ahmad Nuri berkata keterbukaan pihak universiti dalam hal ini amat penting dalam mendidik dan membangunkan bakat kepimpinan mahasiswa. -SM