UPSI lantik pegawai media setiap pusat tanggungjawab
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Bahagian Komunikasi Korporat menganjurkan taklimat media secara online kepada seluruh pusat tanggungjawab (PTj) dan fakulti sebagai memperkasa penulisan dan hebahan media untuk capaian umum.
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril berkata, inisiatif ini dilaksanakan sebagai salah satu pelan strategik jabatannya menampilkan seluruh pusat tanggungjawab universiti dalam media massa dengan lebih menyeluruh.
“Sebagai universiti pendidikan nombor satu adalah penting untuk UPSI tampil sebagai pusat pengajian yang memperkasa penyaluran maklumat kepada khalayak dengan pantas tetapi beretika sesuai peranannya menjana dan menatar ilmu menerajui pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat, dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara,” jelasnya pada ucapan pembukaan taklimat.
Menurut Dr. Izwan lagi, selaras dengan perkembangan teknologi, maklumat-maklumat tentang pencapaian universiti seharusnya dikongsi dengan capaian segera untuk maklumat awam.
“Selain laporan berita arus perdana, laporan berita yang sumbangkan oleh pegawai PTj yang akan dikenali sebagai pegawai Umedia, turut akan dimuatkan dalam kandungan portal berita e-pena, portal berita rasmi UPSI dan merangkumi berita-berita pendidikan Malaysia secara umumnya,” jelasnya lagi.
Taklimat yang berlangsung selama hampir tiga jam itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali Din yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, mengupas keperluan penulisan berita di peringkat PTj untuk melestarikan penyampaian maklumat dengan lebih berkesan.
“Pegawai-pegawai yang datang daripada pelbagai latarbelakang jabatan universiti didedahkan dengan kaedah penulisan yang berkesan seperti mengenalpasti isu, masalah dan peluang selain didedahkan format penulisan berita dengan tepat dan berkesan, menepati keperluan penerbit berita dan selera pembaca,” jelasnya lagi.
Program yang julung-kulung kali diadakan ini mendapat sambutan baik daripada 50 orang peserta yang menghadiri taklimat tersebut.
Menurut salah seorang peserta, Pegawai Penerbitan Pusat Alumni UPSI, Encik Muhammad Zafir Mohd Saman, berpendapat program taklimat pengurusan media dapat membantu pegawai di jabatan untuk menyerlahkan program-program berkaitan di PTj.
Beliau berkata taklimat berkesan, bantu PTj serlahkan nama jabatan”, katanya.
“Sebagai pusat tanggungjawab yang berurusan dengan pihak luar seperti alumni, inisiatif taklimat penulisan berita dianjurkan Bahagian Komunikasi Korporat amat berguna untuk saya tampilkan berita penting melibatkan jabatan selain berkomunikasi dengan lebih baik pada khalayak menerusi penulisan berita,” jelasnya. -SM