Nasional

UPSI, Burgas Free University, Bulgaria bakal bina kerjasama bidang pendidikan awal kanak-kanak

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa komited menjalinkan hubungan dengan universiti luar negara untuk menjayakan pelbagai usahasama.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI beriltizam menjalin kerjasama dengan universiti ternama dunia bertujuan meluaskan perkongsian Yang bermanfaat memacu imej universiti pendidikan tersohor itu di pentas global.

Prof Suriani (dua dari kanan) bertukar dokumen bersama Rektor, Burgas Free University, Bulgaria, Prof Millen Baltov semalam di University of Oxford.

Sehubungan itu, UPSI menerusi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) berhasrat membina kerjasama bersama dengan Burgas Free University, Bulgaria dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK).

UPSI yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar berjaya memulakan langkah proaktif untuk meneroka usahasama dengan mendatangani perjanjian dan menyampaikan Surat Tunjuk Niat (LOI) yang disampaikan kepada Rektor, Burgas Free University, Bulgaria, Prof Millen Baltov.

Beliau yang sedang mengadakan lawatan kerja di University of Oxford dan Cambridge University selama 10 hari, menggalas misi penting untuk menjadikan UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan bukan hanya di Malaysia, tetapi di bumi Eropah.

Beliau berkata berdasarkan keperluan untuk memperkasakan Pendidikan Awal Kanak-kanak di kedua-dua buah negara, maka satu kerjasama perlu diwujudkan bagi mempertingkatkan kepakaran dalam dalam bidang ini.

“Melalui perjanjian usahasama yang termetri, kedua-dua universiti bakal berkongsi dari segi kepakaran penyelidikan melalui geran penyelidikan dan perundingan dalam bidang PAKK.

NDCRC, katanya, berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak dengan melibatkan kerjasama antarabangsa dengan Burgas Free University, Bulgaria ini.

Katanya, kerjasama itu juga diharapkan bukan sahaja dapat mewujudkan pusat kecemerlangan di kedua-dua buah negara, bahkan dapat membuka jalan dengan membabitkan program mobiliti pendidik dan pelajar.

“Saya berharap dengan kerjasama melalui penyelidikan, penerbitan, program pertukaran pelajar, pertukaran pengajaran dan sebagainya dapat meningkatkan lagi kedudukan (ranking) UPSI di persada antarabangsa.

Menurut Suriani selain itu, peranan NCDRC dapat dipertingkatkan melalui potensi untuk membina Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak di bumi Eropah satu hari nanti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button