Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk Alor Pongsu, Daerah Kerian yang ditimpa musibah banjir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa di kawasan berkenaan.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata komitmen sukarelawan UPSI mencerminkan keprihatinan universiti terhadap nasib yang menimpa penduduk Alor Pongsu yang terlibat dengan bencana banjir.
“UPSI senantiasa peka dan prihatin terhadap komuniti yang menghadapi musibah bencana alam atas dasar kemanusiaan, semangat kesukarelawanan dan memasyarakatkan universiti melalui bantuan pengurusan bencana,” katanya.
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata mereka mengambil inisiatif dengan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Alor Pongsu, Deaerah Kerian.
Menurut beliau, ResQ Team UPSI dan UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB) menyerahkan sumbangan berbentuk 70 kotak air mineral, selimut, dan barangan keperluan asas untuk 50 buah keluarga yang terjejas akibat bencana banjir di sini.
“Sumbangan ini menggunakan Tabung UPSI Prihatin dan juga pihak Alumni UPSI yang bersimpati dengan penduduk yang menghadapi masalah bencana banjir.
Misi penyampaian bantuan itu, katanya, diketuai oleh Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah bersama tiga kakitangannya.
Dr Azlan berkata, penyerahan bantuan disampaikan oleh beliau sendiri kepada Penghulu Mukim Beriah, Ahmad Fairuz Abdullah Sani yang mewakili penduduk di Pusat Bencana Daerah Kerian dengan kerjasama Pegawai Daerah Kerian, Tuan Hj Mohd Sabri Bakri.
Beliau berkata pasukan ResQ UPSI bersedia untuk menyalurkan khidmat tenaga bagi membantu penduduk yang terjejas fokus kepada kerja-kerja pembersihan kemudian nanti.
“Misi sukarelawan ini digerakkan bagi membantu komuniti setempat yang terkesan akibat banjir dengan menyalurkan bantuan berbentuk pemberian sumbangan makanan kepada mangsa banjir yang terperangkap di rumah yang tengelami air.
Penyampaian sumbangan dilaksanakan di Pejabat Penghulu Mukim Beriah, Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak berupa 50 set barangan keperluan dan makanan kering termasuk 70 karton (500ml) air mineral. -SM